top of page

Seimbang warisan - peraturan: Papan tanda lama Kuala Lumpur perlu dilindungi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 29
  • 2 min read
Bangunan bersejarah dengan papan tanda lama mempunyai nilai sejarah tersendiri - Gambar hiasan
Bangunan bersejarah dengan papan tanda lama mempunyai nilai sejarah tersendiri - Gambar hiasan

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai Chen Heng, berpendapat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu mengambil langkah bijak untuk melindungi papan tanda lama dan bangunan bersejarah sebagai aset negara yang tidak ternilai, tanpa mengabaikan peruntukan undang-undang sedia ada.


Beliau merujuk kepada insiden di Seremban, Negeri Sembilan apabila papan tanda lama bertulisan Cina diturunkan sebagai peringatan penting bagi ibu negara.


"Papan tanda lama bukan sekadar tulisan, ia adalah sebahagian daripada identiti bangunan bersejarah itu sendiri.


"Insiden di Seremban adalah contoh jelas betapa pentingnya warisan ini kepada identiti kita. Papan tanda lama ini menjadi saksi bisu perjalanan masyarakat pelbagai kaum yang membina Kuala Lumpur sejak awal," katanya dalam kenyataan.


Beliau yang juga mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur menegaskan, usaha pemeliharaan perlu diperluaskan merangkumi papan tanda lama yang telah wujud lebih 100 tahun di tokong, bangunan persatuan dan restoran.


Arca tulisan bukan sahaja Bahasa Cina, katanya, malah Jawi dan Tamil pada bangunan atau rumah kedai lama di Lembah Klang yang wujud sejak abad ke-20 juga adalah sebahagian daripada warisan yang perlu dipertahankan.

Tulisan dalam pelbagai bahasa termasuk Jawi mempunyai nilai sejarah. Gambar hiasan
Tulisan dalam pelbagai bahasa termasuk Jawi mempunyai nilai sejarah. Gambar hiasan

Katanya, semasa berkhidmat dalam DBKL beliau banyak mengulas berkenaan insiden papan tanda pada tahun 2024. Pada masa yang sama, beliau juga mempertahankan papan tanda Pasar Lee Lam Thye di Jalan Tun HS Lee.


Andre Lai menekankan isu berkenaan boleh ditangani secara seimbang antara keperluan mematuhi Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Undang-undang ini mengkehendaki semua iklan menggunakan bahasa kebangsaan, dan bahasa lain boleh digunakan sebagai tambahan.


"Saya faham ada keperluan untuk mematuhi undang-undang yang mengutamakan bahasa kebangsaan. Namun, kita boleh mencari jalan untuk memelihara warisan papan tanda ini dengan menambahkan teks bahasa kebangsaan yang sesuai.


"Ini bukan tentang menghapuskan, tetapi menambah dan menyelaraskan. Ia menunjukkan penghormatan kita kepada warisan budaya tanpa melanggar undang-undang," jelasnya.

Andre Lai Chen Heng
Andre Lai Chen Heng

Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu membandingkan nasib warisan ini dengan Singapura yang telah kehilangan sebahagian besar khazanah sedemikian.


"Kuala Lumpur masih beruntung kerana kita masih memilikinya. Ini adalah daya tarikan unik yang boleh mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan budaya dan sejarah," tambahnya.


Beliau turut menekankan bahawa meskipun DBKL bersikap toleransi, satu garis panduan yang jelas perlu diwujudkan agar warisan tersebut tidak terperangkap dalam "ruang kelabu sistem".


"Peranan ibu negara bukan hanya sebagai pusat ekonomi, tetapi juga sebagai cermin yang memaparkan semangat Malaysia Madani. Prinsip kepelbagaian dan keterangkuman boleh direalisasikan melalui perlindungan warisan ini," katanya lagi.


Andre Lai menggesa DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk segera merangka garis panduan yang mesra masyarakat bagi memastikan khazanah tersebut terus dipertahankan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page