'Seharusnya KJ orang nombor 2 disuntik vaksin Covid 19' - Wanita KEADILAN



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama yang disuntik vaksin Covid 19 menurut laporan media mengenai Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam.


Namun bagi Wanita KEADILAN, kempen membentuk keyakinan umum tersebut harus dibantu oleh menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli politik kerajaan memerintah untuk menghentikan sebarang keraguan bahawa vaksin mempunyai kesan sampingan atau memudaratkan tubuh badan.


Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean berkata, sebaik-baiknya selepas Muhyiddin disuntik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin menjadi orang kedua penerima vaksin dan seterusnya menteri-menteri kabinet yang lain.


"Saya berpandangan rakyat akan lebih yakin dengan keselamatan suntikan vaksin Covid-19 sekiranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin turut mecalonkan diri sebagai menerima vaksin tersebut selepas PM, kerana Khairy merupakan antara menteri yang mengetuai seluruh proses pembelian vaksin dan pelaksanaan program berkaitan vaksin Covid-19 di negara ini.


"Saya juga menyeru kesemua anggota kabinet dan timbalan menteri tampil secara sukarela menerima suntikan vaksin Covid -19 selepas PM dan Khairy Jamaluddin disuntik untuk mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat ke atas keputusan kerajaan berhubung pembelian vaksin dan perkhidmatan suntikan vaksin tersebut," katanya.


Selain memberi keyakinan kepada rakyat, Ker Chean juga mencadangkan agar kempen keyakinan vaksin dijalankan dalam kalangan masyarakat Orang Asal di negara ini.


Beliau juga mencadangkan kempen yang sama dijalankan kepada penduduk di luar bandar yang kurang terdedah kepada informasi pendaftaran sukarela untuk program vaksinasi tersebut.


"Selain itu, saya mencadangkan kerajaan mewujudkan jalinan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan ketua-ketua kampung supaya perhatian dan tumpuan dapat diberikan kepada Orang Asal dan penduduk luar bandar semasa pelaksanaan kempen kesedaran "Lindungi Diri, Lindungi Semua" kerana golongan tersebut mempunyai akses yang sangat terhad kepada maklumat digital," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio