
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Usaha Jabatan Penyiaran Malaysia menerbitkan segmen khas Biar Betul ! bermula Ahad ini adalah satu langkah bijak untuk membantu menangkis fitnah serta berita palsu yang semakin menular sehingga boleh mengelirukan sebilangan masyarakat negara ini.
Inisiatif penyiaran segmen tersebut melalui platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) amat tepat pada saat berita-berita fitnah serta palsu semakin berleluasa sehingga mencetuskan 'panik' sebilangan masyarakat.
Dengan adanya pencerahan serta penerangan menerusi Segmen Khas Biar Betul! rakyat akan mendapat informasi yang lebih sahih terhadap bahan-bahan berita yang disiarkan melalui saluran tersebut setiap hari.
Tangkis fitnah melalui penerangan
Biar Betul! adalah segmen khas yang berperanan menangkis, menjawab dan memperbetulkan pelbagai jenis fitnah yang bertebaran terhadap kerajaan sejak kebelakangan ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam pengumumannya baru-baru ini berkata, slot tersebut dimunculkan susulan laporan fitnah yang tular beberapa hari sebelum ini kononnya bakal berlaku kenaikan caj di klinik-klinik kesihatan.
Jelas beliau, walaupun telah dinafikan oleh Kementerian Kesihatan, tetapi ramai warganet masih percaya dengan lebih 2.8 juta tontonan melalui aplikasi TikTok berkaitan fitnah tersebut.
“Laporan palsu itu mencetuskan panik dalam kalangan rakyat yang keliru konon pihak kerajaan mahu menaikkan caj tersebut daripada hanya RM1 kepada RM15,” katanya dipetik.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerjasama menerbitkan segmen itu juga melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, portal MyCheck.My dengan diselia Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“KKD bertekad untuk membanteras penularan fitnah dan berita palsu melalui pelbagai platform media dan menyeru rakyat sentiasa memastikan maklumat diterima adalah daripada sumber sahih,” tegasnya.
Tangani berita palsu secara konsisten
Menangani berita palsu serta fitnah mesti dilakukan secara serius dan konsisten.
Jika penularan berita palsu dan fitnah ini tidak segera dibanteras, paling buruk kesannya ialah merosakkan kehidupan bermasyarakat dan berkerajaan sesama rakyat di negara ini.
Hakikatnya peranan kerajaan ialah untuk membantu rakyat dan memberi pelbagai kemudahan yang mereka perlukan dalam kehidupan seharian.
Tetapi, jika kerajaan sendiri asyik difitnah dan terlalu banyak berita palsu disebarkan - sebahagiannya dipercayai - akhirnya kehidupan rakyat akan 'terpisah' secara sendirinya dengan kerajaan.
Sudah tentu rakyat sendiri yang akan rugi akhirnya.
Pembuat berita palsu sedar kejahatan sendiri
Adalah diharap dan diyakini, melalui usaha menerbitkan segmen Biar Betul! ini, lebih banyak berita palsu dan fitnah yang sedang merosakkan masyarakat dapat dijawab dan diberi penjelasan daripada semasa ke semasa.
Lama-kelamaan dengan berterusan penjelasan diberikan, secara automatik akan membuatkan penyebar fitnah dan pereka berita palsu itu sedar kejahatan yang selama ini mereka lakukan.
Sebagai rakyat yang cintakan keharmonian dan kedamaian marilah kita turut sama-sama membantu menyebarluaskan lagi apa sahaja usaha Kementerian Komunikasi dan Digital dalam menangani penyebaran berita fitnah dan palsu ini demi memastikan Malaysia Madani benar-benar memberi erti kehidupan yang lebih baik kepada rakyat negara ini.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.