top of page

Segerakan tapak perumahan generasi kedua FELDA - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar memotong kek ulang tahun ke 70 FELDA
DS Anwar memotong kek ulang tahun ke 70 FELDA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu inisiatif berkaitan penyelesaian isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua FELDA dilaksanakan segera.


Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, akan menyediakan kertas dasar dalam tempoh sebulan ini untuk dibentang dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier, supaya semua kawasan perumahan FELDA diizinkan mengadakan rumah kedua segera.


Dalam masa sama pindaan berkaitan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA akan dibentang tahun ini juga.


"Soal akta FELDA, memang dia ambil masa sikit. Saya tunggu draf dia dan Pengurus Besar (FELDA) draf awal kalau sudah ada, akan dibentang ke lembaga pengarah sebaik diluluskan, saya akan segerakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan akan dibentangkan di Parlimen.


"Saya bagi arahan supaya dapat dibentangkan (RUU) sebelum akhir tahun ini. Tetapi soal akta itu bukan masalah, kerana kalau FELDA dan kerajaan Persekutuan dan pengurusan FELDA setuju, tidak dibantah Kerajaan Negeri, beberapa program itu boleh dijalankan dulu," katanya dipetik laporan media.

Anwar berkata begitu dalam ucapan pada Program Santai Perantau sempena 70 tahun FELDA di pekarangan Dewan Perdana FELDA di Kuala Lumpur malam tadi.


Acara turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.


Sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA pada 7 Julai lalu, Anwar mengumumkan tujuh inisiatif baharu termasuk peruntukan RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman Sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.


Beliau turut mengumumkan lebih RM1 bilion pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha membantu peneroka FELDA, termasuk penyelesaian isu perumahan yang menjadi antara kebimbangan golongan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page