Segerakan siasatan kes kematian Maniishapriet - Wanita KEADILAN Putrajaya
- Suara Keadilan
- Jun 27
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Putrajaya menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden kematian tragik seorang pelajar universiti swasta, Maniishapriet Kaur Akhara, yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan pada Selasa.
Ketuanya, Fasyarini Azahari (gambar) dalam satu kenyataan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara segera, telus dan menyeluruh bagi memastikan keadilan ditegakkan untuk keluarga mangsa selain memulihkan keyakinan masyarakat terhadap isu keselamatan awam.
"Kehilangan seorang anak muda yang sedang meniti masa depan adalah satu tragedi yang amat menyentuh perasaan. Saya berharap keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat-saat sukar ini," katanya.
Maniishapriet, 20, merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti swasta dan dilaporkan tinggal bersendirian di sebuah kediaman pelajar di Cyberjaya sejak 21 Jun selepas lima rakan sebilik pulang bercuti.
Difahamkan, beliau kekal di asrama kerana bakal menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.
Sementara itu menerusi kenyataan sama Fasyarini menyeru kementerian dan agensi berkaitan agar segera menyediakan sokongan berbentuk kaunseling, kebajikan dan bantuan moral kepada keluarga mangsa.
"Tragedi ini mengingatkan kita tentang pentingnya memperketat kawalan keselamatan di kediaman pelajar, khususnya mereka yang tinggal jauh dari keluarga," ujar beliau.
Beliau turut menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan anak muda mengenai hak diri, keselamatan peribadi dan pentingnya melaporkan sebarang tingkah laku atau situasi yang mencurigakan.
תגובות