top of page

Segerakan pelaksanaan 6 janji serta merta dalam MoU - Hassan Karim



Memorandum kerjasama (MoU) Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu merangkumi bahagian yang dilaksanakan merta merta, bertempoh 3 bulan dan sehingga Julai 2022.


Bagaimanapun, terdapat 6 janji dalam bahagian itu yang mesti dilaksanakan serta merta. Malangnya hanya satu yang telah diumum pada 23 September lalu untuk dilaksanakan, iaitu Peruntukan Sama rata Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, nasib 5 lagi janji tidak boleh dibiarkan menjadi teka teki dan perlu diumumkan segera pelaksanaannya.


"Saya tidak puas hati perlaksanaan yang lambat terhadap 6 perkara di dalam MoU tersebut, yang perlu dilaksanakan serta merta tetapi hanya satu perkara sahaja yang telah diumumkan. Perlaksanaan keenam-enam perkara ternyata belum ada mekanismenya.


"Saya mendesak RUU Perkhidmatan Parlimen, pembentukan Jawatankuasa-Jawatan Pilihan Khas Parlimen yang baru, pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order) dan Hak serta Kemudahan kepada Ketua Pembangkang segera dilaksanakan.


"Ini penting untuk mempastikan perlaksanaan persetujuan MoU itu mengikut jadual memandangkan terdapat 6 lagi pembaharuan yang lain yang perlu dilaksanakan dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut Pembantu Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pekerja dan Hak Pekerja itu lagi, peruntukan sama rata itu perlu diberi mulai pembayaran Oktober - Disember ini kerana Ahli Parlimen mempunyai pelbagai komitmen untuk membantu rakyat menjelang hujung tahun dan pembukaan tahun baharu persekolahan.


"Saya difahamkan bayaran (terakhir 2021) kepada Ahli Parlimen pembangkang dibuat bagi bulan September hingga Disember tahun ini. Manakala peruntukan tahun 2022 bermula dari bulan Januari untuk semua Ahli Parlimen.


"Dalam hal ini saya berpendirian, semua Ahli Parlimen mesti diberi peruntukan sama rata tidak kira sama ada mereka Ahli Parlimen Bebas ataupun dari parti politik pembangkang yang belum menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut," katanya.


Tambah Hassan, peruntukan sama rata itu amat perlu dimasukkan ke dalam pindaan Rang Undang Undang Perkhidmatan Parlimen agar siapa pun yang menjadi kerajaan pada masa hadapan akan mematuhinya dan hak kepada Ahli Parlimen tidak dinafikan.


"Peruntukan sama rata Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang adalah baik kerana faedahnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di 222 kawasan Parlimen meliputi seluruh negara.


"Peruntukan ini perlu diberi status undang-undang dengan Parlimen menggubal dan meluluskan Akta Peruntukan Dana Kawasan Parlimen. Tidak kira parti mana yang akan jadi kerajaan pada masa akan datang, perkara yang dipersetujui perlu dipatuhi menurut undang-undang.


"Peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen hendaklah meliputi kos untuk pengurusan Pusat Khidmat Rakyat bagi setiap kawasan supaya Ahli Parlimen dapat mengadakan pasukan staf yang bergaji dan kemudahan pejabat yang lengkap bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di akar umbi," katanya lagi.


Untuk rekod, amalan sedia ada amat mendiskriminasi Ahli Parlimen Pembangkang sejak perkhidmatan Parlimen diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri sejak beberapa dekad lalu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang-undang dan Parlimen harus dirujuk untuk meminta peruntukan.


Biasanya Ahli Parlimen Pembangkang tidak akan diberi peruntukan. Amalan semasa ketika ini, Ahli Parlimen Kerajaan diberi peruntukan RM3 juta setahun manakala Pembangkang hanya RM100,000.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page