top of page

Segerakan kaedah baharu kesan penularan Covid, elak kemusnahan ekonomi - Anwar



Langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 5 negeri mulai 13 Januari ini bukanlah penyelesaian muktamad untuk memutuskan rantaian pandemik Covid 19.


Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah pengujian besar-besaran (mass testing/pooled testing) dan pengesanan kontak (contact tracing) yang lebih berkesan dari aplikasi MySejahtera perlulah diwujudkan dan dilaksanakan di negara ini.


Kerajaan PN juga harus mendedahkan strategi dan langkah yang akan diambil dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa dan membimbangkan rakyat.


"Saya menggesa kerajaan bersikap telus berhubung data dan bantu pelbagai pihak untuk lebih faham di mana titik punca (hotspot) sebenar, terutamanya yang melibatkan pekerja-pekerja asing.


"Kementerian Kesihatan berkata mereka sedang mengkaji kaedah ‘pooled testing’, namun belum ada metode dan panduan mengenainya. Negara-negara lain telah membuktikan metode ini lebih berkesan dari hanya mengawal pergerakan. Justeru, saya ulang ketelusan sangat penting pada saat ini," katanya dalam satu kenyataan.


Presiden KEADILAN itu berpendapat, perlaksanaan PKP walaupun perlu namun impaknya kepada ekonomi amat tinggi.


Katanya, sektor yang paling terjejas tentulah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang baru beransur-ansur pulih daripada beberapa siri PKP dan PKP Bersyarat tahun lalu, kini menghadapi penguncupan perniagaan sekali lagi.


"Malangnya, pengumuman terbaru akan terus mengesankan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi yang masih belum kebah dari dampak beberapa PKP sebelum ini sejak bulan Mac tahun lalu. Saya mendesak kerajaan lebih telus terkait realiti kewangan dan ekonomi negara serta bagaimana dana dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.


"Banyak perniagaan, terumatanya PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik. Langkah terkini hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan-perniagaan yang di ambang penutupan," katanya.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu kerajaan PN segera mengumumkan pakej ransangan terbaharu bagi menampung perbelanjaan rakyat yang akan terjejas sepanjang PKP kali ini dan mungkin tempohnya disambung selepas 2 minggu.


"Ramai yang akan kehilangan kerja. Ramai yang akan dihempap kemiskinan. Kerajaan perlu mengumumkan segera peruntukan sebanyak RM500 juta untuk dua minggu seterusnya, termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas.


"Kerajaan juga mesti mengarahkan semua pihak melaksanakan kembali moratorium pinjaman (automatik) sehingga diberitahu kelak. Langkah dan pengumuman ini mesti dibuat segera," katanya.


Datuk Seri Anwar juga menasihatkan kerajaan PN untuk tidak memilih bulu dalam melaksanakan SOP pada PKP kali ini.


Menurut beliau, hal yang berlaku tahun lalu apabila pemimpin dan menteri kerajaan terlepas hukuman apabila melanggar SOP tidak sewajarnya berulang sekali lagi.


"Perdana Menteri berkata sistem kesihatan kita di tahap yang sangat kritikal. Maka saya menggesa kerajaan untuk mengawal ketat dan tegas SOP tanpa cenderung kepada mana-mana pihak, tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kecenderungan politik. Pilihan Raya Negeri Sabah telah membuktikan kepada kita semua bahawa virus ini (menjangkiti) tidak mengira sesiapa," katanya lagi.


Datuk Seri Anwar turut berpesan agar pengendalian mangsa-mangsa banjir di Selatan dan Pantai Timur tanah air mestilah dilakukan secara pematuhan SOP maksimum. Sekiranya tidak, maka akan wujud kluster-kluster baharu berkenaan banjir dan Pusat Pemindahan Sementara kelak.


Beliau berkata, inilah masanya kerajaan PN untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab. Pimpinan kerajaan juga, kata Anwar, harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk. Rakyat berhak dan memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas pada saat ini.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page