Laporan penuh tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm (FOF) di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember lalu sudah disediakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihak Kerajaan Negeri bersedia mendedahkah laporan insiden itu kepada waris mangsa terlibat sekiranya menerima permohonan.
"Kalau ada permohonan, kita akan boleh keluarkan secara bertulis. InsyaAllah, saya juga akan bawa ke mesyuarat Exco dalam masa terdekat untuk kenal pasti punca kuasanya," kata Amirudin menjawab desakan sesetengah pihak yang mahu laporan penuh tragedi berkenaan diumumkan.
Dalam tragedi kira-kira jam 2.30 pagi itu, 31 nyawa termasuk 13 kanak-kanak terkorban. Seramai 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Penemuan awal Kementerian Kerja Raya mendapati retakan di sepanjang jalan atas cerun bukit dan pengumpulan air bawah tanah di bawah tapak perkhemahan mungkin menyebabkan tanah runtuh.
Pada Sabtu keluarga mangsa menggesa kerajaan agar segera mendedahkan hasil laporan siasatan insiden tersebut.
Loh Teng Shui, yang mewakili keluarga mangsa berkata mereka tidak tahu jabatan mana yang harus dirujuk dan pihak berkuasa mana untuk dihubungi.
Sehubungan itu mereka berharap kerajaan dapat menyediakan saluran betul untuk mendapatkan maklumat.
Comments