Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menyediakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk parti yang diwakilinya, Bersatu.
Malah, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang dahulunya penyokong kuat Mahathir kini menuduh pengerusi Bersatu itu mempunyai agenda peribadi terhadap Muhyiddin untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
Namun, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad menempelak kenyataan Wan Saiful yang dilihat seolah-olah sudah lupa dengan agenda Bersatu ketika menjayakan Langkah Sheraton.
"Saya fikir sebelum bicara agenda Tun, elok Wan Saiful wakili Muhyiddin dan Azmin Ali jelaskan agenda Langkah Sheraton.
"Sampai sekarang tak ada siapa tahu kenapa mereka buat tindakan tersebut. Mereka pun tak berani jelaskan. Akhirnya nanti DAP jadi bogeyman (jahat)?" katanya menerusi akaun Twitter miliknya.
Langkah Sheraton berlaku pada 23 Februari apabila Bersatu isytihar keluar daripada Pakatan Harapan bersama-sama dengan 11 Ahli Parlimen yang diketuai oleh Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang bersepakat dengan UMNO dan PAS untuk mendirikan kerajaan Perikatan Nasional.
Penubuhan kerajaan baharu itu sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah negara sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.
Namun sejak Perikatan Nasional mentadbir negara, tidak ada sebarang penjelasan rasmi dibuat oleh Bersatu mahupun 11 Ahli Parlimen yang keluar daripada PH berkenaan sebab sebenar Langkah Sheraton dilaksanakan.
Comments