Sebelum bubar Parlimen, bubarkan DUN Johor dahulu - Salahuddin



Desakan pemimpin Umno agar Parlimen dibubarkan berikutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil kerana mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat disambut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.


Ahli Parlimen Pulai itu sebaliknya mencabar pemimpin Umno agar membubarkan terlebih dahulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diterajui Kerajaan PN.


Menurut Salahuddin, keadaan di Johor lebih meruncing berbanding di peringkat pusat dan seharusnya DUN Johor dibubarkan segera.


"Mutakhir ini, semakin ramai pemimpin Umno yang menggesa agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.


"Oleh kerana mereka begitu ghairah untuk PRU diadakan, saya ingin mencabar mereka memulakan langkah itu di Johor.


"Mereka menyebut tentang ketidakstabilan situasi politik negara sebagai alasan untuk mengadakan PRU, maka langkah ini harus bermula di Johor ekoran kemelut politik di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Salahuddin, Pakatan Harapan terbuka sekiranya Umno melalui Menteri Besarnya Datuk Hasni Mohammad mahu membubarkan DUN Johor bagi mengembalikan mandat rakyat yang dirampas pada Februari lalu.


"Umno dan Bersatu tidak perlu berlengah dan boleh memohon agar DUN Johor dibubarkan pada bila-bila masa sahaja," kata ADUN Simpang Jeram itu.


Sepanjang bulan Jun, pemimpin Umno menyerang gabungan politik yang mereka sendiri sertai sebagai tidak stabil dan boleh tumbang pada bila-bila masa. Beberapa pemimpin peringkat pusat menggesa agar Muhyiddin membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihan raya mengejut.


Penganalisis politik berpendapat gesaan pemimpin Umno itu mungkin untuk mengumpul sokongan rakyat sekiranya mereka melakukan tindakan tidak popular menarik keluar sokongan Ahli-ahli Parlimen dan menjatuhkan kerajaan Muhyiddin. Sekiranya PRU diadakan, di atas kertas Muafakat Nasional yang dianggotai Umno dan Pas dijangka akan menang mudah.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio