Sebar video hasutan: TH pantau penularan berita palsu di media sosial
- Suara Keadilan

- Aug 23
- 1 min read

Lembaga Tabung Haji (TH) memandang serius penularan video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial berkaitan inisiatif penjenamaan serta tadbir urus agensi itu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad berkata, pihaknya telah membuat laporan mengenai fitnah itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat. TH sedang memantau rapat sebarang hantaran di media sosial, sama ada dalam bentuk video atau penulisan, yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar serta menjejaskan imej organisasi.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih sumbernya," katanya dipetik.
Mustakim menegaskan, asas penubuhan TH adalah untuk membantu umat Islam Malaysia menabung bagi menunaikan ibadat haji. Justeru, pelaksanaan pelan penjenamaan baharu bertujuan memperkasakan peranan TH agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan dengan lebih sistematik.
"Kebanyakan pendeposit masih tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan haji. Sebab itu TH melaksanakan inisiatif penjenamaan supaya ia kekal menjadi institusi simpanan Islam pilihan, berorientasikan pelanggan, relevan dengan perubahan demografi, dan berkesan dalam operasi.
"Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang sesuai, selaras dengan amalan dan contoh yang pernah ditunjukkan dalam sejarah Islam," jelasnya.









Comments