Sebar gambar pelajar terkait kes Zara boleh kena tindakan undang-undang
- Suara Keadilan

- Aug 11
- 1 min read

Sebarang penyebaran atau muat naik gambar pelajar yang dikaitkan dengan kes buli berkaitan kematian Zara Qairina berisiko dihadapkan ke muka pengadilan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, menurut amaran dari seorang pengamal undang-undang.
Dr Mahmud Jumaat menegaskan undang-undang dengan jelas melarang pendedahan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah atau dalam situasi kesusahan termasuk di platform media sosial dan dalam laporan media arus perdana.
"Larangan tidak terhad kepada media tradisional; pengguna media sosial juga tertakluk kepada larangan sama," katanya dipetik The Vibes, sambil menyatakan bahawa guru pun tidak dibenarkan memuat naik gambar pelajar tanpa kebenaran, apatah lagi orang awam yang tiada kaitan langsung dengan kes tersebut.
Mahmud yang dipetik dari laporan sebuah portal berita menjelaskan pelanggaran peraturan ini boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda maksima RM10,000, atau kedua-duanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa dan pihak sekolah untuk segera membuat laporan polis jika gambar atau identiti pelajar disebar tanpa izin serta memadamkan sebarang kandungan tersebut kalau ia telah dikongsi.
Mahmud turut mengingatkan bahawa kesedaran awam mengenai pentingnya melindungi identiti kanak-kanak masih rendah.
"Setiap orang mesti faham bahawa undang-undang melindungi semua kanak-kanak daripada pendedahan yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi atau reputasi mereka," katanya.
Kes membabitkan Zara Qairina menarik perhatian meluas di media sosial selepas gambar dan rakaman video berkaitan sekolahnya tersebar di platform tersebut.
Sebelum ini, pihak polis telah memberi amaran bahawa penyebaran maklumat tidak tepat atau kandungan tidak sah mengenai kes Zara Qairina juga boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.









Comments