top of page

Seatrade Cruise Asia 2026: M'sia mahu jadi tuan rumah, promosi industri pelayaran



Oleh: Abdullah Zaid


Industri pelayaran mempunyai nilai ekonomi tersendiri bagi negara dikelilingi laut seperti Malaysia.


Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menzahirkan minat untuk menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026 bagi mempromosikan industri pelayaran negara sebagai pemangkin ekonomi baharu.


Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menyatakan hasrat itu selepas menjadi individu pertama negara menghadiri persidangan tahunan Seatrade Cruise Global 2024 di Miami, Florida bermula 8 April hingga 11 April lalu.


"Saya menyampaikan kesungguhan Malaysia untuk menjadi destinasi pelayaran utama melalui delegasi ke Seatrade Cruise Global 2024.


"Persidangan tahunan tersebut mengumpulkan pakar industri dari 80 syarikat pelayaran di 120 negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Selain itu, Ahli Parlimen Seremban tersebut turut mempelawa pengendali kapal pelayaran memanfaatkan infrastruktur pelabuhan pelayaran di Malaysia, antaranya Langkawi Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal di Pulau Pinang, Port Klang Cruise Terminal, Melaka International Cruise Terminal dan beberapa pelabuhan di Sabah serta sepanjang pesisiran Laut China Selatan di Sarawak sebagai pengkalan persinggahan pelayar.


Katanya, bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi homeport terpilih di rantau Asia-Pasifik, beliau memaklumkan MOT akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.


"Kepelbagaian budaya Malaysia dan rantau ASEAN sememangnya boleh menawarkan pengalaman bercuti yang menarik kepada pelancong pelancong China dan India.


"Kepesatan sektor pelancongan pelayaran itu juga akan memberi kesan limpahan ekonomi bagi peruncitan, makanan dan minuman serta perhotelan (tempatan)" ujarnya.


Dalam pada itu, Loke optimis industri pelayaran dapat membantu membangunkan rantaian bekalan hijau negara meliputi tepian pantai, termasuk ‘shore power’ dan ‘green bunkering’ di Malaysia.


"Ia selaras dengan sasaran pelepasan sifar bersih di bawah Strategi Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau dari Kapal," ujar Loke.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page