SD tidak boleh diguna tukar kerajaan, bawa usul percaya di Parlimen
- Suara Keadilan

- Jan 8, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Propaganda laskar siber pihak pembangkang yang berulang kali mendakwa Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat dilihat tidak munasabah sama sekali.
Bahkan, kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang yakin Akuan Bersumpah (SD) membuatkan blok pembangkang mampu mengambil alih kerajaan pusat juga jauh meleset.
Menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai tidak berpijak di bumi nyata, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Akta Anti Lompat Parti tidak memperuntukkan penggunaan ‘Statutory Declaration’ (SD) boleh digunakan.
Jelasnya, perkara baharu 49A(1), (2), (3) dan(4) Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengekang kaedah SD diguna pakai.
Hal itu, katanya, kaedah itu telah terbukti gagal apabila Yang Dipertuan Agong menolak SD yang dibawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) untuk menjadi Perdana Menteri.
"Tetapi Agong tidak memperkenankan untuk melantik Mahyuddin menjadi PM hanya berdasarkan sokongan SD.
"Sebaliknya Agong telah menasihatkan Muhyiddin dan Hadi Awang dari PN membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH pimpinan Anwar Ibrahim.
"Ia bermakna Agong enggan menggunakan kaedah SD," katanya dalam ketika dihubungi Suara Keadilan.
Justeru, Hassan menasihati Sanusi untuk kembali mengguna pakai konvensyen Perlembagaan iaitu melalui usul undi percaya atau undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
"Kesimpulannya semua pihak perlu merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Sama ada Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan majoriti sebagai PM hendaklah diputuskan di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat," katanya yang juga seorang pengamal undang undang.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor dilaporkan yakin bahawa pihak pembangkang sudah mempunyai cukup jumlah untuk menjatuhkan kerajaan melalui kaedah SD namun tidak memperincikan jumlah yang diperoleh.
Sementara itu, semalam, pejabat Ketua Pembangkang menafikan kenyataan tular yang kononnya 118 ahli parlimen diberi perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong bersama akuan bersumpah.
Sebaliknya, pejabat itu memaklumkan, kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti yang ditularkan di media sosial, adalah palsu.









Comments