top of page

Sayap wanita dibubar jika pemimpin faham kesaksamaan gender



Oleh: Loh Ker Chean


Kita memperjuangkan kesaksamaan gender dan bukan kesamaan gender. Oleh itu, dalam kita membahaskan topik kesaksamaan gender, tumpuan sepatutnya kembali kepada asas iaitu sifat semulajadi gender masing - masing. Kaum wanita dan kaum lelaki mempunyai perbezaan dari segi biologi dan fizikal, keperluan mereka juga berbeza.

Salah satu perbezaan yang nyata ialah hanya kaum wanita diberi anugerah berpeluang untuk hamil dan melahirkan zuriat. Sifat penyayang dan keibuan dalam kalangan kaum wanita adalah fitrah dan akan bertambah kuat apabila bermulanya fasa kehamilan.

Jadi, adalah tidak hairanlah jika kaum wanita memilih untuk meninggalkan medan kerjaya mereka bagi membesarkan anak walaupun mereka diberi pilihan, kemudahan dan sebagainya.

Persoalannya ialah, patutkah pilihan sebegini dianggap sebagai suatu bentuk kerugian ke atas wanita apabila mereka dengan rela hati memlilih menjadi ibu sepenuh masa dan menangguhkan prospek dan pembangunan kerjaya? Atau, ia merupakan suatu kerugian yang dialami oleh negara kerana kehilangan bakat-bakat kaum wanita?

Saya kurang setuju. Kenapa? Sepertimana yang saya pernah tegaskan sebelum ini bahawa keluarga merupakan unit asas bagi membina negara. Jika salah seorang ibu atau bapa ingin menumpukan kepada pengasuhan dan pendidikan anak-anak berbanding dengan kerjaya mereka pada masa tertentu, kita patut menyambut baik dan menyokong hasrat ini.

Walaupun hasrat sebegini mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan dalam memelihara kesejahteraan institusi kekeluargaan, tetapi ianya dilihat sebagai salah satu faktor mengakibatkan penurunan kadar penyertaan tenaga buruh.


Peka kepada keperluan rumah tangga

Menurut statistik status guna tenaga mengikut gender daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga kaum wanita kelas “pekerja” ialah 77.7% pada tahun 2010 tetapi menurun ke 72.8% pada tahun 2017, kadar sebanyak 4.9%. Manakala, kadar guna tenaga kaum wanita kelas “bekerja sendiri” telah meningkat dengan mendadak sebanyak 5.5% daripada 12.3% (2010) ke 17.8%(2017).

Dari situ, apa yang boleh kita dapati ialah trend kegiatan ekonomi oleh kaum wanita semakin berkembang dalam sektor bekerja sendiri. Merujuk kepada laporan Khazanah Research Institute (KRI) 2018, statistik DOSM menunjukkan kadar kaum wanita memilih bekerja sendiri semakin meningkat.

Dengan perkembangan ini, kebebasan masa dan fleksibiliti di antara rumah tangga dan pekerjaan merupakan unsur pertimbangan yang penting dalam perancangan rumah tangga. Oleh itu, dasar kerajaan perlu lebih peka terhadap keperluan ini untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh sama ada kaum wanita atau kaum lelaki demi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara langsung.

Pendekatan baharu seperti konsep dan budaya kitaran guna tenaga boleh disyorkan dalam pelbagai sektor pekerjaan. Contohnya mewujudkan lebih jawatan kontrak dan kerja sambilan kontrak. Jawatan kontrak jangka masa pendek setahun hingga tiga tahun mengizinkan majikan mengisi kekosongan posisi pekerja yang memohon untuk mengambil cuti panjang.

Pada masa yang sama, dinamik budaya pekerjaan akan berubah menjadi lebih mesra kepada perancangan rumah tangga muda atau ia juga memberi peluang kepada graduan universiti untuk memperolehi pengalaman bekerja.

Sementara itu, kebajikan dan perlindungan mereka yang berkerja sendiri juga perlu diberi lebih perhatian supaya mereka berasa lebih selamat dengan pilihan mereka. Contohnya seperti melaksanakan kempen kesedaraan bagi mendorong individu yang bekerja sendiri untuk mencarum dengan KWSP dan PERKESO secara sukarela demi perlindungan keselamatan sosial sendiri dan keluarga.

Penuaan penduduk cabaran rumah tangga dan individu

Dalam kita membincangkan pelbagai jenis sistem sokongan untuk individu dan keluarga, kita tidak boleh mengabaikan aspek sokongan bagi menangani penuaan individu dan warga emas. Hal ini masih belum dibicarakan secara luas namun sangat penting bagi memastikan kesejahteraan individu dan keluarga induk khususnya.


Tanggungjawab bersama antara ahli keluarga, selain daripada membesarkan anak – anak adalah untuk menjaga ibu bapa yang semakin tua. Kerja penjagaan tidak formal ini merupakan salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh sesebuah perancangan institusi rumah tangga dan ianya juga menyebabkan kadar penyertaan tenaga kerja menurun.

Tambahan pula, berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk. Sistem sokongan baharu penjagaan kesejahteraan warga emas yang lestari perlu diwujudkan. Sistem ini tidak harus hanya tertumpu kepada keluarga yang memiliki ahli warga emas tetapi juga kepada warga emas yang tinggal sendirian.


Secara keseluruhannya, adalah penting untuk kerajaan mempelbagaikan pilihan sistem sokongan atau sistem kebajikan yang berasaskan kepada keperluan rumah tangga dan membolehkan isi rumah tangga membuat pilihan “mix and match” yang bersesuaian dengan keperluan mereka.


Menjaga kesejahteraan setiap individu setiap peringkat

Isu - isu yang melibatkan kaum wanita bukanlah tanggungjawab tunggal atau “hak keistimewaan” dituanan oleh kaum wanita. Ia bukan sesuatu yang patut diambil berat oleh pimpinan wanita sahaja atau diharapkan boleh diselesaikan dalam lingkungan gender sendiri.


Pembebasan minda perlu berlaku dalam kalangan politikus tanpa mengira gender, terutamanya dalam proses mengendali punca kepada masalah dan membuat dasar – dasar penyelesaian.


Isu wanita merupakan isu rumah tangga, isu masyarakat sosial dan isu negara. Pendekatan kesejahteraan individu, rumah tangga, masyarakat adalah asas kepada semua perjuangan kemanusiaan termasuklah hak asasi wanita.

Dasar kerajaan harus dilakar untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan setiap individu pada setiap peringkat kehidupannya, ia bermula dengan kelahiran, kanak – kanak, anak muda, dewasa, hari tua, meninggal dunia sehingga dikuburkan.

Jikalau pimpinan pusat tanpa mengira gender dalam wadah politik sudi mengambil pendekatan sebegini yang bersifat empati untuk mereformasi institusi dan membentuk norma baharu demi kelestarian kesejahteraan rakyat yang termasuk kaum wanita, maka sayap wanita boleh dibubarkan jika tahap fahaman ini telah berjaya dicapai secara holistik.


(Bahagian akhir)

Rujukan:


Khazanah Research Institute 2018. The State of Households 2018: Different Realities. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN dan mantan Editor Suara KEADILAN Bahasa Mandarin, Gong Zheng Bao



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page