Sayap Pemuda PN enggan Pas pimpin gabungan, takut hilang undi?
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cadangan ketiga-tiga sayap pemuda Perikatan Nasional (PN) supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai pengerusi gabungan didakwa berkemungkinan didorong kebimbangan ideologi radikal Pas berpotensi menjejaskan penerimaan PN dalam kalangan bukan Islam.
Itu pandangan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi ketika ditanya sama ada wujud kebimbangan hal yang didakwa ideologi Islam 'jalur keras' yang dibawa Pas tidak akan diterima oleh masyarakat lain, sehingga menyebabkan Pemuda PN mahu mengekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi.
"Ekstrem itu.. mungkin mereka takut bangsa Cina atau India tidak boleh terima. (Jadi) mereka (PN) tidak akan mendapat undi daripada Cina dan India.
"Keduanya, saya rasa sebab mereka (Bersatu) nak kekal berkuasa. Saya rasa itulah penyebab utama mereka (untuk kekal kuasa) dan (hal itu) relevan dalam arena politik Malaysia sekarang ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 12 Januari lalu, media melaporkan tiga sayap pemuda PN dari Parti Kebangsaan Malaysia Indian People Party (MIPP), Gerakan dan Bersatu mengusulkan cadangan agar Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN.
Ketua Pemuda MIPP, Justin Prabakaran berkata, selaku teraju utama yang akan memimpin PN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jawatan Pengerusi PN mesti diisi oleh kepimpinan absah, inklusif, diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan mempunyai 'track record' diyakini rakyat.
Mengenai kemungkinan Pas tidak meletakkan presiden mereka, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Pengerusi PN atas faktor kesihatan, Iman Haziq berpandangan, kualiti kepimpinan Pas hanya mampu berperanan sebagai parti penyokong dalam gabungan kerana negeri yang mereka kuasai tidak menunjukkan kepimpinan yang berwibawa malah bergolak.
"Untuk memimpin gabungan itu agak mustahil, dan semua orang tahu bahawa mereka (Pas) tidak mampu untuk memimpin sebuah gabungan.
"Kita tengok ‘track record’ (Pas) di negeri masing-masing pun bergolak sana sini.
"Seperkara lagi, Bersatu ini boleh diumpamakan sebagai sebuah parti yang tak kuat, tapi cuba nak tunjuk kuat, nak jadi kuat dan rasa dia kuat," katanya lagi.
Pergolakan dalaman PN masih tidak reda biarpun Muhyiddin Yassin semalam muktamad meletak jawatan sebagai pengerusi.
Pas yang mahu memimpin gabungan pembangkang itu pula kelihatan masih tidak yakin dengan kemampuan mereka dan mungkin berharap sokongan dari Bersatu secara konsensus bagi memberi laluan mudah terhadap mana mana pemimpin Pas yang dicadangkan untuk menduduki jawatan pengerusi.
Krisis kepimpinan PN bermula pada 29 Disember tahun lalu apabila Muhyiddin mengumumkan meletak jawatan selepas didesak oleh beberapa pemimpin Pas.
Turut meletak jawatan adalah Setiausaha Agung PN dan beberapa Pengerusi PN negeri dari Bersatu yang menyebabkan gabungan tersebut bergolak hebat sepanjang dua minggu lalu.









Comments