Calon Pakatan Harapan DUN Klebang, Datuk Gue Teck kesal berikutan tersebar mesej palsu kononnya beliau memungut hutang kepada beberapa orang pengundi di kawasan itu.
Menurut Gue Teck, beliau tidak pernah menghantar mesej sedemikian rupa dan telah menghubungi nombor-nombor yang mendapat mesej berkenaan untuk memberitahu hal sebenar.
"Semalam nombor telefon saya disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, mengatakan saya mendesak pengundi-pengundi untuk memulangkan hutang kepada saya.
"Saya telah berhubung dengan beberapa orang yang mendapat mesej tersebut, menjelaskan saya tidak pernah menghantar mesej sebegitu kepada sesiapa.
"Wakil saya juga telah membuat laporan polis terhadap perkara ini dan memohon supaya pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam sidang media, pagi tadi.
Gue Teck mengutuk sekeras-kerasnya taktik menyalahguna atau menggodam nombor telefonnya untuk menghantar mesej palsu. katanya, taktik seperti itu tidak wajar digunakan untuk mengalahkan pesaing-pesaing politik.
"Pihak kami kutuk sekeras-kerasnya kaedah kesat ini, yang ingin memfitnahkan saya menjelang Hari Pengundian pada 20 November 2021," katanya.
Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Naib President merangkap Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.
Comments