"Saya tak mahu jumpa kamu" - Tuanku Muhriz murka dengan MB N Sembilan


Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menunjukkan kemurkaan baginda terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dengan bertitah secara keras, selepas mendakwa MB berkenaan menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan baginda sebagai pemerintah negeri itu.
Teguran tersebut dirakam dalam video yang tular di media sosial selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Juasseh, Kuala Pilah hari ini.
Dalam rakaman itu, Tuanku Muhriz mempersoalkan tindakan Ismail bertemu baginda sedangkan Menteri Besar berkenaan didakwa sebelum ini mempertikaikan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Selagi dia tak tarik balik apa dia kata itu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, I don't want to see you, okay? You understand?" titah baginda.
Tuanku Muhriz turut merujuk surat yang didakwa ditulis Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menyatakan keputusan yang dibuat bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah sah dan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam rakaman video tersebut menunjukkan Ismail dilihat mengangkat sembah ketika berhadapan dengan baginda.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika kemelut kedudukan institusi diraja Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian.
Pada 9 September lalu, Ismail mengesahkan beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan usaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta tetapi mendakwa tindakan itu dilakukan tanpa kerelaan dan secara paksaan.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat pada kira-kira jam 6 petang, 8 September, bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.
Dalam kenyataan ketika itu, Ismail turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berpendirian surat cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Beliau menyifatkan dokumen itu sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, perkembangan selepas itu menimbulkan persoalan apabila Kerajaan Negeri mengambil pendirian berbeza berhubung kesahan proklamasi tersebut.
Pada 16 September, barisan Exco mengumumkan keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan menggesa supaya Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.
Pada 22 September, Ismail bersama barisan Exco turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Tunku Nadzaruddin yang diiktiraf oleh kumpulan Undang tertentu sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Pertemuan yang dirancang sebagai sesi suai kenal dan mengeratkan hubungan itu bagaimanapun dibatalkan pada keesokan harinya atas faktor keselamatan selepas mengambil kira nasihat pihak berkuasa.
Perkembangan tersebut berlaku selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri berikutan tindakan mereka mengiktiraf proklamasi yang mempertikaikan kedudukan baginda.
Ismail bagaimanapun menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah dan boleh meneruskan tugas masing-masing.
Pertikaian itu turut dibawa ke mahkamah apabila 10 bekas anggota Exco memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahan warta Kerajaan Negeri yang membatalkan pelantikan mereka.
Kemelut berkenaan kini terus menjadi perhatian susulan pertikaian mengenai kesahan proklamasi, kedudukan Undang Yang Empat serta kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Setakat laporan ini disediakan, konteks penuh pertemuan di masjid dan dakwaan mengenai surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja belum dapat disahkan secara bebas melalui kenyataan rasmi pihak berkaitan.




Comments