Kerajaan nilai semula set, bantuan kawal kebakaran di Indonesia


Kerajaan mungkin akan menilai semula bentuk bantuan dan aset yang ditawarkan kepada Indonesia sejak sebulan lalu dalam menangani punca jerebu di negara itu bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kemungkinan penilaian semula itu dibuat susulan kebakaran yang semakin merebak, sekali gus memerlukan penyelarasan lanjut bagi memastikan bantuan dan aset yang ditawarkan benar benar bermanfaat mengawal kebakaran.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan mengenai perkembangan terkini isu berkenaan, namun beberapa aspek penyelarasan masih perlu disusuli.
"Isunya api telah mara dengan agak meluas, jadi apa-apa pun bentuk bantuan dan aset yang kami telah tawarkan (sejak sebulan lalu), sekarang mungkin perlu dinilai semula untuk pastikan bantuan itu benar-benar mencapai maksud.
"Jadi perbincangan susulan akan dibuat, namun setakat ini belum ada maklumat terperinci mengenai bentuk aset yang akan dihantar, perbincangan itu masih berjalan," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.




Comments