top of page

"Saya mahu anak Melayu berjaya, anak Cina hebat, anak India cemerlang"

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 4 min read
DS Aminuddin mahu menjadikan semua kaum hebat di Negeri Sembilan
DS Aminuddin mahu menjadikan semua kaum hebat di Negeri Sembilan

Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar menabur janji, sebaliknya telah membuktikan kemampuan melaksanakan manifesto yang dijanjikan sepanjang mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018.


Beliau yang juga Pengerusi PH negeri berkata, rekod pentadbiran selama lapan tahun, termasuk tiga tahun bersama Barisan Nasional (BN), membuktikan kerajaan negeri berjaya menunaikan pelbagai komitmen yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum.


Menurut beliau, antara kejayaan terbesar ialah pelaksanaan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold), yang disifatkan sebagai inisiatif pertama seumpamanya di negara ini.


"Kita tidak hanya retorik tentang manifesto. Kita laksanakan manifesto kita. Kita mulakan dengan menukar tanah (tapak rumah) daripada leasehold kepada freehold. Inilah satu-satunya negeri yang kita buat," katanya ketika berucap pada program Jelajah Kekal Pakatan Harapan di Senawang malam tadi.


Aminuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, pelaksanaan dasar itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya berpolitik semata-mata.


Beliau turut menolak dakwaan kononnya pentadbiran beliau menjadi "boneka DAP" sebaliknya menegaskan kerajaan negeri bergerak sebagai satu pasukan yang menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang.


Katanya meskipun dilabel sebagai 'boneka DAP', beliau tetap memperjuangkan nasib orang Melayu dengan menukar status tanah kepada pegangan tetap memandangkan sebelum ini masyarakat tersebut memilih membeli rumah "leasehold" kerana harganya lebih murah.


"[Tuduhan] Boneka DAP kita bukan masalah boneka, kita bekerja sebagai satu pasukan. Kita nak pastikan orang Melayu kita jaga, orang Cina kita jaga, orang India kita jaga. Kita beri peruntukan kepada masyarakat Cina bukan Islam untuk mereka gunakan bagi keperluan mereka, itu hak mereka. Rakyat Malaysia ada hak, bukannya orang kita sahaja tetapi masyarakat lain juga mempunyai hak," katanya.


Malah beliau menegaskan pentadbiran PH di negeri itu bukan dikawal mana-mana parti, sebaliknya digerakkan secara bersama demi memastikan kebajikan semua kaum terus terpelihara.


Menurut Aminuddin, pendekatan inklusif itu telah membolehkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan harmoni tanpa sebarang konflik melibatkan rumah ibadat pelbagai agama.


Beliau berkata, sepanjang pentadbiran PH, Negeri Sembilan tidak berdepan isu melibatkan kuil atau gereja seperti yang sering dimainkan pihak tertentu.


Sebaliknya, katanya, kerajaan negeri terus memperkukuhkan syiar Islam melalui pembinaan masjid, menaik taraf sekolah agama serta menyediakan peruntukan penyelenggaraan secara berterusan.


"Kita tak ada masalah dengan gereja, tetapi mereka cuba permainkan sehingga hari ini. Inilah yang mereka cuba buat kepada kita. Masjid terus dibina dengan banyaknya, sekolah agama kita tingkatkan, kita perbaiki. Ini yang kita laksanakan di negeri ini. Sekolah agama di bawah Kerajaan Negeri, dan kita adakan kos penyelenggaraan untuk mereka. Betulkan sekolah, tambah baik sekolah."


"Ini yang kita laksana tuan-tuan pada hari ini. Saya pun nak anak Melayu berjaya. Anak Cina pun hebat. Anak India pun cemerlang. Ini yang kita nak. Inilah barulah Negeri Sembilan yang kita..."


Mengulas manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Aminuddin berkata pelbagai tawaran baharu disediakan bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati manfaat pembangunan negeri.


Beliau berkata, jika sebelum ini bantuan lebih tertumpu kepada golongan B40, kali ini kerajaan negeri akan memperluaskan kelayakan kepada isi rumah berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan.


"Kalau dulu kita hanya tumpu kepada golongan B40, kali ini kita buka peluang kepada M40 menerima manfaat. Mereka juga mempunyai banyak tanggungan dan memerlukan perhatian kerajaan," katanya.


Beliau berkata, antara inisiatif yang dipertingkatkan ialah bantuan warga emas apabila penerima berusia 65 hingga 69 tahun akan menerima RM200 setahun manakala bantuan kepada mereka yang berumur 70 tahun ke atas dinaikkan kepada RM300 setahun.


Menurutnya, peningkatan itu dibuat bagi membantu golongan berusia yang lazimnya memerlukan perbelanjaan lebih tinggi terutama berkaitan kesihatan.


"Golongan 70 tahun ke atas biasanya dalam keadaan kurang sihat dan memerlukan lebih perbelanjaan. Saya berharap keluarga masing-masing membuat permohonan supaya ayah dan ibu mereka dapat menikmati faedah ini," katanya.


Dalam bidang pendidikan pula, Aminuddin berkata kerajaan negeri turut meningkatkan kadar bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) serta memperluaskan kelayakan kepada keluarga berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan.


Beliau berkata, bantuan kemasukan bagi pelajar diploma dinaikkan daripada RM750 kepada RM1,500 manakala bantuan kepada pelajar ijazah sarjana muda turut dipertingkatkan.


Selain itu, bantuan sara hidup mahasiswa yang sebelum ini diperkenalkan hasil cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ahli Parlimen Port Dickson turut digandakan.


"Datuk Seri Anwar pernah telefon saya ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan meminta kerajaan negeri membantu pelajar universiti dengan RM50 atau RM100 sebulan. Ketika itu dana Yayasan Negeri Sembilan hanya sekitar RM3 juta. Hari ini bantuan itu telah kita naikkan menjadi RM200 sebulan atau RM2,400 setahun," katanya.


Beliau berkata kejayaan meningkatkan bantuan pendidikan itu turut didorong oleh kedudukan kewangan Yayasan Negeri Sembilan yang semakin kukuh.


Menurutnya, dana simpanan yayasan kini menghampiri RM30 juta berbanding hanya sekitar RM3 juta ketika PH mula mengambil alih pentadbiran negeri.


"Hari ini simpanan yayasan hampir RM30 juta dan kita berbelanja sekitar RM18 juta setahun untuk pendidikan. Dulu hendak dapat RM3 juta pun susah," katanya.


Aminuddin berkata kerajaan negeri kini menyediakan pengajian TVET secara percuma kepada anak Negeri Sembilan, termasuk yuran dan kos sara hidup sekali gus menamatkan amalan pelajar menamatkan pengajian dengan beban hutang beribu-ribu ringgit.


"Sekarang anak-anak Negeri Sembilan belajar TVET secara percuma. Dahulu mereka keluar dengan hutang RM8,000 hingga RM10,000, tetapi hari ini kita tanggung yuran dan makan minum mereka," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page