Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui hanya mahu bertanding satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ini selepas beliau dikaitkan dengan spekulasi bahawa beliau akan mempertahankan DUN Sikamat dan pada masa yang sama bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
"Saya tidak bersedia untuk dua tempat. Satu tempat pun sudah cukup. Kalau diberi pilihan saya akan pilih salah satu.
"Apa pun saya serahkan kepada Presiden. Kalau dia kata bertanding di negeri, saya ke negeri. Kalau di suruh saya ke Parlimen, saya akan ke sana. Saya perlu akur dengan arahan bos," katanya.
Baru-baru ini, Anwar mengatakan beliau "selesa" di Port Dickson dan bersedia mempertahankan kerusi tersebut.
Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi antara rakan Pakatan Harapan negeri, Aminuddin mengesahkan isu itu hampir selesai.
"Kami sedang berbincang satu atau dua kerusi lagi. Selebihnya telah dimuktamadkan," katanya.
Pada PRU-14, KEADILAN bertanding paling banyak kerusi DUN dengan 12, diikuti oleh DAP dengan 11 kerusi dan Amanah dengan 7 kerusi.
DAP memenangi semua kerusi yang ditandinginya, sementara KEADILAN memenangi enam kerusi dan Amanah tiga kerusi.
Comments