![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_751f31703d314cd499b44805df6dc2a3~mv2.png/v1/fill/w_720,h_442,al_c,q_85,enc_auto/4449e2_751f31703d314cd499b44805df6dc2a3~mv2.png)
Pemilihan KEADILAN 2022 mempunyai beberapa kata kunci yang sering digunakan untuk menentukan pihak mana yang disokong.
Salah satu kata kunci itu adalah 'berperang' atau 'berunding'.
Bagi calon Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau mempunyai kelayakan dalam kedua dua bidang lewat pengalaman 23 tahun bersama parti.
"Ada yang berpendapat kalau nak runding pilih Saifuddin, kalau nak perang pilih Rafizi. Saya nak jawab, nama saya Saifuddin, 23 tahun dalam parti. Saya dah masuk medan perang sebagai orang yang mengetuai peperangan. Tahun 1999 (PRU) berperang, 2004, 2008, kita berperang tanpa henti.
"Saya seorang muslim, Nabi Muhamad ikutan saya. Dalam 23 tahun sejarah perjuangan Nabi, 9 kali Nabi berperang tetapi banyak juga pasukan perunding yang Nabi hantar.
"Ada masa kita perang, ada masa kita runding. Di KEADILAN strategi perang atau runding bukan strategi Rafizi atau Saifuddin. Strategi mesti diputuskan oleh KEADILAN dan pimpinannya. Jangan buat anggota parti serba salah. Ini proses parti yang menentukan . Bincang dalam Biro Politik, AMK dan kalau perlu buat kongres untuk buat keputusan," katanya dalam majlis pelancaran Gagasan Kita Semua KEADILAN yang menggabungkan pemimpin pemimpin KEADILAN pelbagai jawatan dalam satu pasukan, petang tadi.
Tegas Saifuddin, sebaik sahaja Kongres KEADILAN berlangsung pada bulan Jun nanti dan barisan kepimpinan baharu mengambil alih maka strategi KEADILAN memasuki Pilihan Raya Umum (PRU) 15 akan segera diputuskan.
"23 Jun kita buat kongres. Kepimpinan baru ambil tempat dan kepimpinan akan buat persiapan hadapi PRU. Kita tak cukup kuat, kita ajak DAP dan Amanah duduk. Manifesto kita buat. Manifesto tak sama macam dulu, isu Tabung Haji, GST 1MDB dan sebagainya.
"Sekarang lain, kesan pandemik Covid 19, hilang pekerjaan, kos sara hidup tinggi, perang Ukraine dan Rusia juga beri kesan kepada harga baja misalnya kerana kita beli baja dari sana lebih kurang RM1 bilion. Akibatnya penanam padi mengalami kenaikan harga baja.
"Kita mesti merangka manifesto yang memberi jawapan kepada isu derita dan hidup rakyat. Kita bersendirian tak boleh, kerja pilihan raya adalah ambil pandangan dari semua anggota parti. Sebab itulah kita angkat tema 'kita semua KEADILAN'," katanya.
Selain itu, Saifuddin juga mengingatkan perjuangan KEADILAN mempunyai dua teras utama sejak penubuhannya pada April 1999.
Pertama, inklusiviti atau merangkul semua golongan dan kedua adalah kepelbagaian, sama ada kaum, agama, ideologi dan sebagainya.
Katanya, melalui dua teras itu KEADILAN menjadi parti yang unik dan mewakili semua kaum serta dijadikan wadah perjuangan pelbagai pihak.
"KEADILAN ini insklusif, imam, kesatuan pekerja, artis manakala presiden pertama kita suri rumah sepenuh masa. Ada tempat untuk semua kita memimpin dan mengukuhkan parti.
"Teras kedua kita, kepelbagaian agama, kaum, bahasa, anutan budaya. Kepelbagaian inilah menjadikan KEADILAN istimewa. Selain dua teras ini, kita ada pula agenda reform.
"Kejayaan reformasi bukan diukur berapa lama kita jadi kerajaan, berapa MB kita ada. Kejayaan reformasi ialah menterjemahkan agenda reformasi menjadi dasar pemerintahan, melaksanakan dalam bentuk program dan dirasai oleh rakyat terbanyak," katanya.
Justeru, Saifuddin berharap pemilihan KEADILAN tidak akan menyebabkan perpecahan sebaliknya menjadikan parti lebih kuat.
Kepada anggota, Saifuddin menyeru, sekiranya mereka melihat pengalaman dan kesetiaan sebagai ciri terbaik sebagai calon Timbalan Presiden maka pilihlah beliau untuk bergandingan bersama Presiden Anwar Ibrahim memimpin parti.
"Saya ikut serta dalam parti 23 tahun lalu, saya menyasikan penubuhan parti, saya ikut rakan rakan lain daftarkan parti. Saya ikut dalam semua moment itu, bermaksud saya ikut mengutip pengalaman. Kalau saudara berpendapat seorang timbalan yang bawa pengalaman itu penting, maka saya minta pertimbang Saifuddin, calon nombor 2 untuk diundi.
"Saya juga membuktikan kesetiaan semasa senang dan semasa susah. Masa jadi kerajaan saya menteri, bila jatuh menteri pun hilang tetapi saya buktikan kesetiaan," katanya lagi.
Comments