Oleh: Helmi Mohd Hanafi
Lebih satu juta rakyat negara ini telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat pagi ini selepas lapan hari ia dilancarkan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata angka itu termasuk kanak-kanak di bawah 18 tahun.
"Seluruh jentera kerajaan turun membantu untuk memastikan kita meminimumkan risiko keciciran dalam pelaksanaan subsidi bersasar melalui pendaftaran PADU.
"Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar," katanya dalam ciapan di aplikasi X.
Rafizi berkata, rakyat yang masih belum mendaftar ke dalam sistem itu untuk berbuat demikian melalui http://padu.gov.my.
Beliau turut memohon bantuan rakyat bagi membantu mereka yang kurang mahir digital untuk mendaftar, termasuk ibu bapa, keluarga dan jiran.
Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Januari lepas hingga 31 Mac ini dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.
Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.
コメント