top of page

Satira perkauman bukan hak kebebasan, mengancam perpaduan rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 28
  • 2 min read

Veteran ATM turut hadir bersama NGO bagi menunjukkan bantahan terhadap tulisan satira politik pemimpin Pas
Veteran ATM turut hadir bersama NGO bagi menunjukkan bantahan terhadap tulisan satira politik pemimpin Pas

Tindakan pemimpin Pas Kawasan Sungai Buloh, Selangor menulis satira politik dan mengepilkan gambar kenaikan pangkat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai hantaran di media sosial terus mendapat kecaman.


Terbaharu, NGO Kolektif Jalan Teruih, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah dan Anak Muda Permatang Pauh membuat laporan polis di IPD Perda, Pulau Pinang berhubung hantaran Yang Dipertua Pas, Zaharuddin Muhammad itu.


"Tindakan ini (tulisan) adalah satu bentuk provokasi berselindung di sebalik satira politik, yang cuba mencetuskan ketegangan kaum secara licik dan tidak bertanggungjawab.


"Kami ingin mengangkat dan menegaskan kata-kata YB Steven Sim, Menteri Sumber Manusia bahawa “Di perbatasan, peluru tidak mengenal bangsa.”


"Kata-kata ini adalah kebenaran mutlak. Di medan tempur, tiada ruang untuk sentimen perkauman. Yang ada hanyalah kesetiaan, keberanian dan cinta kepada negara. Maka, amat wajar kita semua menolak sebarang cubaan membawa politik kaum ke dalam tubuh institusi ketenteraan negara," kata mereka dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu merujuk hantaran Zaharuddin menulis naratif kononnya pada tahun 2058 Perdana Menteri Malaysia ke-50 berasal daripada bangsa Cina, hasil pasangan warga asing melalui skim Malaysia My Second Home (MM2H).


Walaupun beliau menyebut “gambar hiasan” bagi foto Datuk Johnny Lim, namun netizen mendakwa hantaran itu seolah olah memberi gambaran serong terhadap kemajuan bukan Melayu dalam struktur ketenteraan.


Justeru, bagi NGO berkenaan, amat tidak wajar seorang pemimpin politik membuat hantaran menyentuh pejuang tanah air yang sepatutnya dihargai tanpa mengira kaum.


"Tentera Malaysia tidak boleh dipolitikkan. Mereka bukan alat retorik mana-mana kelompok. Mereka adalah benteng akhir negara yang sepatutnya dihormati, dikasihi dan dibela, bukan dijadikan bahan sindiran.


"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia SPT yang turut hadir bersama kami di IPD Perda sebagai tanda solidariti.


"Kehadiran mereka membawa mesej yang besar bahawa suara anak muda dan suara bekas pejuang tanah air kini bergema serentak,menolak politik perkauman, dan mempertahankan kehormatan negara," kata kenyataan itu lagi.


Untuk rekod, kelmarin YDP Pas Sungai Buloh telah memuat naik hantaran berbentuk 'satira' di media sosial yang membayangkan kemungkinan pelantikan seorang Perdana Menteri berketurunan Cina menjelang tahun 2058.


Di bawah ayat yang didakwa satira itu, dikepilkan gambar pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertama daripada kaum Cina.


Datuk Johnny Lim kini memegang jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan telah berkhidmat dalam ATM selama 41 tahun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page