top of page

Sasar semula subsidi telur jimat RM135 juta, bekalan stabil

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 22
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kerajaan menjangka dapat melakukan penjimatan sebanyak RM135 juta dalam tempoh tiga bulan hasil penyasaran semula subsidi telur ayam, demikian kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.


Beliau memberitahu subsidi telur telah dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2025, sebelum dimansuhkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.


"Pengurangan ini dijangka menjimatkan RM45 juta sebulan. Justeru, bagi tempoh tiga bulan tersebut, jumlah penjimatan subsidi dianggarkan sebanyak RM135 juta," katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) di Dewan Rakyat hari ini.


Mohamad berkata bekalan telur ayam di pasaran ketika ini adalah stabil dengan harga yang kekal berpatutan.


"Bagi bulan Julai 2025, pengeluaran telur ayam dianggarkan sebanyak 1.75 bilion biji, berbanding keperluan domestik sekitar 1.06 bilion biji.


"Ini menunjukkan terdapat lebihan sebanyak 690 juta biji telur, dan sebahagiannya akan dieksport," jelas Mohamad.


Mengenai kebimbangan mengenai impak kepada kos sara hidup rakyat, beliau berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada gangguan bekalan mahupun aktiviti pencatutan.


Mohamad turut memaklumkan bahawa penamatan subsidi dan kawalan harga telur tidak dijangka menjejaskan industri, memandangkan kos makanan ayam kini menunjukkan trend penurunan.


"Penyasaran semula ini membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi kepada program yang lebih berfokus dan memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya.


Tambah beliau kadar inflasi tahunan bagi telur ayam mencatatkan penurunan sebanyak -5.3% pada Mei lalu meskipun penurunan itu tidak menyeluruh merentas semua gred telur berikutan fasa penyesuaian harga pasaran.


"Kementerian dengan kerjasama KPDN turut melaksanakan langkah pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan kestabilan harga telur ayam, agar tidak berlaku sebarang ketirisan yang menjejaskan kepentingan pengguna," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page