
Pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa hari penamaan calon jatuh pada 5 November dan mengundi pada 19 November memberi tempoh selama setengah bulan untuk parti parti yang akan bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 memilih calon terbaik.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Senator Fadhlina Sidek, saringan pemilihan calon kali ini, terutama dalam kalangan Wanita seharusnya dilakukan dengan mengambil kira keupayaan untuk menang di samping calon yang berpengaruh di peringkat parti bagi memantapkan gerak kerja kempen pilihan raya.
"Seiring dengan pengumuman SPR hari ini maka tugasan di peringkat pimpinan bagi menuntaskan senarai nama akan dimuktamadkan dengan kadar segera.
"Siri-siri mesyuarat dan jelajah di peringkat cabang dan negeri telah pun menyaksikan konsep yang ingin diangkat oleh pasukan sayap wanita pada kali ini adalah berorentasikan akar umbi.
"Dalam nuansa meraih sokongan pengundi atas pagar dan pengundi baharu, kita tidak boleh lari daripada disiplin organisasi untuk mengutamakan bakat di halaman rumah sendiri.
"Kita baru sahaja usai daripada melaksanakan landasan demokrasi dalaman, dan struktur yang terbentuk dalam sayap pada hari ini adalah yang diangkat daripada undi anggota parti," katanya.
Kekuatan dalaman, kata Fadhlina harus diambil kira, tambahan pula calon calon wanita katanya banyak yang telah melalui asam garam perjuangan dan pengorbanan yang tinggi menjayakan misi parti selama ini.
"Keghairahan kita untuk saling berpencak dalam PRU15 wajib digandingkan dengan komposisi yang adil dan tidak regresif. Dalam seni berunding dan memutuskan di saat akhir, suka untuk saya berkongsi kata-kata ini.
“We cannot negotiate with people who say what's mine is mine and what's yours is negotiable" dari John F. Kennedy
"Saya yakin pimpinan wanita merupakan generasi yang telahpun melalui siri-siri pengorbanan di peringkat peribadi dan parti.
"Bakat yang menerajui sayap pada hari ini adalah yang diangkat oleh akar umbi pada pemilihan lalu. Jika saya dilihat tidak berganjak daripada keputusan untuk mempertahankan pasukan sayap, itu adalah kerana kami mempertahankan keputusan akar umbi," katanya lagi.
Dengan barisan calon terbaik, tegas Fadhlina, beliau yakin mandat rakyat akan berpihak kepada pasukan Pakatan Harapan.