Sarawak–Sabah Link Road lonjak ekonomi Limbang, bukti keprihatinan PM
- Suara Keadilan

- Sep 16
- 2 min read

Penduduk Limbang menerima limpahan manfaat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) yang dijangka mengubah landskap pengangkutan serta merangsang ekonomi tempatan di kawasan terbabit, kelmarin.
Menurut Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Sibuti, Zulhaidah Suboh, projek SSLR2 tersebut akan memberi rakyat Sarawak akses kepada pengangkutan lebih selamat, moden dan setaraf dengan Semenanjung Malaysia.
"Dengan adanya SSLR2 kemajuan pengangkutan dapat dinikmati oleh rakyat Sarawak yang setaraf dengan Semenanjung dan ianya juga bakal merangsang ekonomi tempatan seperti hasil pertanian dan perhutanan akan menjadi lebih cekap, menarik minat pelabur dan memudahkan pelancong luar maupun tempatan datang ke Limbang dengan menggunakan akses jalan yang lebih selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam majlis peluncuran itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 5 baharu bernilai RM10–11 juta, yang akan memberi kemudahan rawatan lebih dekat kepada komuniti Limbang.

"Ini adalah perkhidmatan asas langsung yang bakal dinikmati oleh komuniti di Limbang kerana ianya dapat mengurangkan kos pengangkutan untuk mendapat rawatan di tempat yang lebih jauh," jelas Zulhaidah.
Selain itu, PM juga telah menyumbang RM100,000 kepada SMK Medamit untuk meningkatkan kualiti pembelajaran yang lebih kondusif dan lengkap.
"Sumbangan ini bagi meningkatkan kualiti pembelajaran yang lebih kondusif dan lengkap akan meningkatkan motivasi dan pencapaian pelajar," katanya.
Jelas Zulhaidah, ketiga-tiga inisiatif tersebut — SSLR2, Klinik Kesihatan baharu, dan bantuan pendidikan — menyasar kepada keperluan asas rakyat dan melambangkan persahabatan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri Sarawak dalam semangat Malaysia Madani.
"Terima kasih Datuk Seri Anwar kerana menjadikan Sarawak gergasi tenaga baharu bertaraf dunia yang memberi manfaat kepada seluruh Malaysia, khususnya di Sarawak," tambah beliau.









Comments