Sarawak catat angka terbanyak siapkan projek bina semula sekolah daif
- Suara Keadilan

- Jul 2
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara sejak 2016 dengan kos keseluruhan sebanyak RM13.8 bilion.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 813 projek sudah siap dilaksanakan setakat ini.
"Daripada jumlah itu, 813 projek telah siap, 173 projek berada pada peringkat pembinaan manakala 264 lagi di peringkat prapembinaan," katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Fadhlina juga memaklumkan sebanyak 64 projek pembangunan semula sekolah daif berjaya disiapkan di seluruh negara dalam tempoh 2025 hingga suku kedua 2026.
"48 projek disiapkan sepanjang 2025 membabitkan 13 negeri, dengan Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 17 projek, diikuti Sabah sebanyak 10 projek.
"Bagi tahun 2026, 16 lagi projek berjaya disiapkan sehingga suku kedua membabitkan tujuh negeri, dengan Sarawak sekali lagi mencatat jumlah tertinggi iaitu lapan projek, diikuti Pahang dan Perak masing-masing dua projek," katanya.
Fadhlina sementara itu menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited memastikan akses persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada pelajar.
Dalam masa sama, KPM akan terus memastikan projek pembangunan semula sekolah daif dilaksanakan mengikut jadual dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
"Setiap projek mesti disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, berkualiti tinggi dan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat setempat.
"Komitmen ini bukan sekadar janji, malah telah dan sedang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab," tambahnya.




Comments