SARA RM100: Kaedah guna MyKad terbaik, sektor runcit dapat 'durian runtuh'
- Suara Keadilan
- Sep 3
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang dilaksanakan Kerajaan MADANI dengan menggunakan MyKad sebagai medium pembelian, mendapat pujian pelbagai pihak, termasuk Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Danish Hairudin.
Danish berkata, kini Malaysia sedang melangkah ke era digitalisasi sejajar dengan negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Norway, serta beberapa negara sedang membangun lain yang memberi inisiatif kepada rakyat menggunakan kad pengenalan menggantikan baucar.
Katanya, kaedah itu lebih baik berbanding bantuan tunai yang mungkin digunakan membeli barangan yang tidak bermanfaat serta kaedahnya boleh dikembangkang kepada beberapa skim bantuan lain selepas ini.
''Inisiatif ini merupakan serampang dua mata. Pertama memberi sumbangan barangan kepada rakyat, kemudian secara tidak langsung kerajaan memastikan wang tersebut tidak boleh dikeluarkan secara tunai dan hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan.
''Sebelum ini, inisiatif yang tidak bersasar atau pemberian tunai secara langsung mungkin tidak digunakan sepenuhnya, tetapi dengan inisiatif SARA RM100 ini, rakyat hanya perlu menggunakannya di pasar raya, sekali gus merangsang perkembangan pasaran runcit dalam negara secara automatik.
''Dari situ, kitaran tunai menjadi sangat produktif dalam menggerakkan ekonomi negara,'' katanya yang memuji kaedah penggunaan MyKad bukan sahaja praktikal tetapi juga berpotensi digunakan pada masa depan untuk merancakkan lagi sektor peruncitan.
Beliau berkata demikian kepada Suara Keadilan ketika dihubungi untuk mengulas penggunaan kaedah tersebut, yang dianggap sebagai medium terbaik bagi kerajaan menyalurkan bantuan pada masa depan sekali gus merancakkan putaran kewangan dalam sektor peruncitan negara.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan memaklumkan, transaksi bantuan penghargaan SARA yang ditebus mencecah RM110 juta dalam tempoh dua hari pelaksanaannya bermula 31 Ogos lalu.
Setakat jam 9.30 malam semalam, MOF berkata, lebih 900,000 rakyat telah menyempurnakan perbelanjaan berjumlah RM60 juta di seluruh negara.
Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima berjaya berbelanja dalam tempoh dua hari, dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara.
Comments