top of page

SARA RM100 diagih seawal Februari tahun depan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

Kerajaan Madani meneruskan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas pada tahun depan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berbentuk baucar itu akan diagih menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina bagi meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup.


"Sukacita saya umumkan, Kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas.


"Ini akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina," katanya.


Sementara itu, beliau berkata seramai sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan SARA sehingga RM100 sebulan, atau RM1,200 setahun.


Manakala sejuta penerima STR di bawah program e-Kasih akan menerima sehingga RM200 sebulan, bersamaan RM2,400 setahun.


Bantuan bagi kategori bujang pula ditetapkan RM600 setahun.


Jelas PM, keseluruhan peruntukan untuk STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, yang dijana hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi khusus untuk diesel dan petrol RON95.


Selain itu, Belanjawan 2026 juga menyediakan bantuan khas sebanyak RM500 sempena Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.


Perdana Menteri berkata, bantuan khas sebanyak RM250 turut diberikan kepada pesara kerajaan dan akan mula diagihkan pada awal Mac 2026.


"Mengambil kira peningkatan gaji 2026 yang melibatkan penambahan 18 bilion ringgit, disusuli pemberian STR dan SARA bulanan, saya dengan ini mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.


"Bantuan khas kewangan turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250 ringgit.


"Bantuan ini akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena menyambut Aidilfitri," katanya.


Kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page