SARA RM100 bukti kerajaan bantu semua rakyat hadapi kos hidup - David Cheong
- Suara Keadilan
- Sep 17
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 yang telah dituntut oleh majoriti rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas sejak 31 Ogos lalu membuktikan keprihatinan kepimpinan berjiwa rakyat, adil dan inklusif yang diterajui Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young menyifatkan, keputusan kerajaan mengagihkan bantuan secara menyeluruh dengan menggunakan mekanisme MyKad sebagai manifestasi prinsip MADANI yang menekankan kecekapan, ketelusan dan keadilan sosial.
''Dengan pemberian RM100 secara automatik tanpa permohonan, lebih 20 juta rakyat Malaysia menerima manfaat ini, yang boleh digunakan bagi pembelian barangan keperluan asas di lebih 7,300 kedai dan pasar raya dan terpilih.

''SARA membuktikan kerajaan prihatin bukan sahaja kepada golongan B40, malah kepada keseluruhan rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
''Kami merakamkan penghargaan dan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut yang telah mula dikreditkan ke MyKad setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas sejak 31 Ogos 2025 lalu,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, David Cheong juga menyeru seluruh kepimpinan politik dan masyarakat yang berkemampuan dan tidak memerlukan bantuan berkenaan agar menyahut kempen 'Pass It Forward' yang dilhamkan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, semangat itu bukan hanya menuntut masyarakat untuk menerima bantuan, tetapi pada masa sama menghulurkan semula bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan demi memperkukuh ikatan kemanusiaan dan perpaduan nasional.
''Kami percaya, kombinasi dasar kerajaan yang progresif dan sikap rakyat yang prihatin akan membina sebuah masyarakat penyayang, inklusif dan makmur.
''Mari kita terus mendukung kepimpinan PM Anwar, menjayakan inisiatif SARA sekali gus menghayati semangat 'Pass It Forward' demi kesejahteraan bersama,'' seru beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.
Comments