SARA: 7,000 peranti terminal disediakan, mudahkan orang ramai berbelanja
- Suara Keadilan

- Aug 31
- 1 min read

Lebih 7,000 peranti terminal telah disediakan untuk memproses pembayaran elektronik di seluruh negara bagi orang ramai berbelanja menerusi bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100, bermula hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Yayasan MyKasih, jumlah kemudahan itu berjaya ditingkatkan berbanding 4,000 terminal disediakan bulan lalu.
"Insya-Allah kita sedang usahakan kerjasama dengan MOF untuk menyediakan terminal ini di semua program Jualan Rahmah. Saya dimaklumkan di Sabah semua Jualan Rahmah sudah dilengkapi terminal SARA," katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis penutup Program Karnival Komuniti MADANI Merdeka 2025 Parlimen Kuantan di perkarangan luar Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima bantuan SARA RM100 sekali beri sebagai tanda penghargaan bersempena sambutan bulan Kebangsaan.
Pemberian melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Sementara itu Dr Fuziah turut menasihati pengguna yang ingin membeli barang keperluan melalui SARA supaya mengasingkannya daripada barang lain supaya tidak berlaku kelewatan di kaunter apabila membuat pembayaran.
"Contohnya, pasar raya akan menandakan SARA pada barangan seperti makanan segera, biskut dan makanan dalam tin.
"Apabila berbelanja, elok asingkan barangan SARA dengan yang lain bagi memudahkan pembayaran," ujarnya.









Comments