SAP kukuh kedudukan Selangor sebagai pemimpin industri teknologi tinggi
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor melakar satu lagi pencapaian besar apabila melancarkan projek pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) seluas 600 ekar di KLIA Aeropolis, sebagai sebahagian daripada inisiatif strategi merancakkan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor negara.
Dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Khamis, projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)
"Pembangunan taman aero ini amat signifikan untuk menjadikan KLIA lebih daripada sekadar lapangan terbang, sebaliknya sebagai pusat industri penerbangan yang lengkap dengan inovasi, pembangunan bakat dan perkongsian teknologi.
"Industri baharu itu akan memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan KLIA Aeropolis sebagai pusat penerbangan dan logistik serantau yang strategik serta berdaya saing," kata Loke dipetik.
Turut hadir ke acara itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Pelaburan Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor Datuk Ts. Saipolyazan Mat Yusop.
Fasa pertama pembangunan melibatkan kawasan seluas 200 ekar, dengan baki 400 ekar akan dilaksanakan secara berperingkat selepas 2028. Ia bakal menampilkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), avionik, pembuatan aeroangkasa dan pembekalan teknologi elektronik berimpak tinggi.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM2.3 bilion, projek ini juga mendapat kelebihan lokasi strategik dengan sambungan terus ke Pelabuhan Klang.
Sementara itu Amirudin dalam ucapannya menyatakan keyakinan bahawa SAP mampu menjadikan Selangor sebagai peneraju utama industri aeroangkasa negara, menguasai sehingga 73 peratus aktiviti ekonomi sektor tersebut di Malaysia.
"Kelahiran SAP bakal menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, sekali gus menyumbang kepada sasaran mewujudkan 100,000 pekerjaan menjelang akhir penggal pentadbiran negeri," katanya.
Tambah beliau, kehadiran SAP dijangka menarik minat pelabur global termasuk syarikat penerbangan terkemuka seperti Airbus dan Boeing, serta pemain industri dalam keseluruhan rantaian bekalan aeroangkasa — daripada logam dan plastik, kepada elektronik, teknologi maklumat serta perkhidmatan teknikal profesional.
Pembangunan ini turut menyokong aspirasi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, yang menyasarkan pendapatan tahunan RM55.2 bilion menerusi pertumbuhan sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah.