Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.
Memetik laporan media, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Satu dan Dua Selayang, di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd.
Muhammad Sanusi dipercayai akan didakwa susulan kenyataannya yang mempertikai mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa menghina institusi diraja itu dibuat dalam siri ceramah PN di Selayang dan telah dimuat naik di banyak saluran media sosial YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter.
Ia kemudian mencetus rasa kurang senang banyak pihak terutama rakyat Selangor.
Susulan itu, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk dari pihak ahli Dewan Diraja Selangor yang mendesak Menteri Besar Kedah itu disiasat dan diambil tindakan tegas.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melalui satu kenyataan ringkas di laman Facebook Selangor Royal Office pada Isnin menitahkan bahawa isu Sanusi belum selesai.
Titah itu menyusul selepas baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, YDH CP Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Muhammad Sanusi pada Jumaat memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi warkah kepada baginda.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan permohonan maaf bukan satu pembelaan dari segi undang-undang.
"Sesiapa yang membangkitkan isu membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang," kata Azalina dalam ciapan di laman Twitternya.
Comments