Sanusi angkuh hina penyokong PN minta wang tambang balik mengundi
- Suara Keadilan

- Dec 5, 2022
- 2 min read

Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mencerca penyokong sendiri kerana sibuk menularkan video berkenaan wang tambang balik mengundi yang tidak mencukupi adalah keterlaluan.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, tindakan Sanusi itu amat melampau kerana PN telah menjanjikan sejumlah wang kepada para penyokong, dan tentulah mereka wajib menunaikannya.
"Saya amat terkilan dengan tindakan Pengerusi PN Kedah, Sanusi Md Nor yang menyifatkan pengundi PN sebagai "bodoh" kerana meminta wang tambang untuk balik mengundi.
"Beliau juga mengakui penyokong Pakatan Harapan (PH) sanggup habis ratusan dan ribuan ringgit untuk balik mengundi.
"Saya faham memang pengundi PH ikhlas balik mengundi untuk mendapatkan semula mandat yang mereka berikan kepada PH pada 2018, ini adalah kelebihan dan sifat patriotik yang ada pada penyokong PH.
"Namun itu bukan alasan untuk menghina pengundi PN kerana kita tidak tahu kedudukan kewangan mereka. Mereka ingin balik mengundi kamu (PN) walau keadaan kewangan mereka tidak mengizinkan.
"Tetapi apa yang berlaku kamu hina mereka seolah mereka pengemis. Sepatutnya kamu berterima kasih kerana mereka, kamu berada di mana kamu berdiri hari ini," kata Razeef dalam satu kenyataan.
Baru baru ini dalam satu ceramah, Sanusi menyatakan "Pengundi PH tidak pernah minta walau pun 10 sen, sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk pulang dari luar negara. Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta."
Menteri Besar Kedah itu juga berkata "Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasai dia tau penting tanah ini untuk dikuasai."
Bagi Razeef, keceluparan Sanusi itu amat tidak wajar. Katanya, pengundi telah berjasa kepada wakil rakyat PN dan tidak layak maruah mereka dinjak injak setelah ahli politik meraih kekuasaan.
"Walau berbeza pandangan politik, saya ingin menasihati Sanusi untuk menghormati pengundi.
"Sebagai seorang yang bersatus Menteri Besar, tidak sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan pengundi walaupun beliau biasa mengeluarkan kenyataan "bodoh"," katanya lagi.




Comments