Santuni peniaga Pasar Tomborungus: 44 kanopi diserahkan kepada penjaja
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Annuar S
Program “Menyantuni Penjaja Pasar Tomborungus” dikelolakan oleh KEADILAN Cabang Kudat telah berlangsung di kawasan belakang Pasar Merah Kudat, Sabah petang semalam sebagai tanda keprihatinan terhadap para penjaja tempatan yang menjadi nadi ekonomi rakyat.
Antara pengisian utama program ialah penyerahan sebanyak 44 buah kanopi kepada penjaja Pasar Kudat buat kali keempat, bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada mereka untuk berniaga dengan lebih teratur.
Selain itu, turut diadakan sesi ramah mesra bersama komuniti penjaja sayur yang mana pihak penganjur mendengar secara langsung pandangan, cadangan serta keperluan yang diutarakan oleh para penjaja.
Ketua Cabang KEADILAN Kudat, Stefly Said menegaskan bahawa penjaja merupakan tulang belakang ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, dan KEADILAN sentiasa komited menyokong usaha mereka.
"Program ini bukan sahaja menyantuni penjaja, malah menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat. Kita akan terus bersama mereka, mendengar dan membantu sebaik mungkin," ujar beliau.
Program berakhir dengan sesi bergambar bersama para penerima kanopi sebagai simbolik penghargaan kepada penjaja yang hadir.
Inisiatif tersebut diharapkan dapat memberi semangat baharu kepada penjaja untuk terus berniaga dengan lebih teratur, sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti di Kudat.
Comments