Persatuan Belia Komuniti Pemuzik Muar (KPM) baru baru ini menganjurkan Santai Seni Edisi 11 dalam meneruskan aktiviti muzik positif untuk anak muda tempatan.
Menurut Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Firdaus Zainal (gambar, kanan) acara berkenaan telah pun masuk tahun kesebelas, dimana mereka menghimpunkan para pemuzik yang terdiri daripada 10 band dari beberapa daerah.
Beliau turut memeriahkan majlis selain menjadi juruacara juga sebagai wakil AMK Johor menyumbangkan cenderahati berupa gula-gula sakit tekak kepada pihak penganjur.
"Band yang mengambil bahagian bukan sahaja dari Muar malah disertai oleh pemuzik dari Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan negeri Melaka membuat persembahan sejak petang hingga ke malam.
"NGO ini pernah menerima anugerah persatuan belia terbaik negara sebanyak dua kali. Keterlibatan saya selain aktif berpolitik, saya juga adalah pemuzik, penyanyi dan juruhebah sejak lebih 15 tahun dahulu dan turut menjayakan majlis tahunan itu selaku emcee dan membuat persembahan bersama band Wad18.
"Manakala sumbangan cenderahati kami sebagai iringan kepada para pemuzik dan krew pentas serta artis lagenda dari kumpulan Crossfire. Suatu usaha mendekati belia dari pelbagai bidang," katanya.
Dalam acara itu juga, tambah Firdaus, NGO MRA dan Southern Volunteers berjaya mengutip derma dari penonton untuk mangsa banjir di Johor, bertepatan dengan slogan "Berhibur Sambil Beramal".
"Syabas dengan usaha KPM yang konsisten mengetengahkan bakat tempatan lebih sedekad lalu dan mereka melebarkan lagi sayapnya selepas menaiktaraf status persatuan itu, dan mempunyai perancangan memasarkan karya ahli persatuan sama ada berupa lagu atau lirik ke negara jiran dengan usahasama penerbit muzik di sana.
"Mewakili AMK Johor, kami mengucapkan selamat maju jaya," katanya.
Comments