top of page

‘Sandiwara politik’: Pas putus hubungan, mengapa tidak tinggalkan PN?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 20 minutes ago
  • 2 min read

Putus hubungan antara Pas dan Bersatu yang diisytihar sejak beberapa hari lalu oleh pemimpin Pas mungkin hanya satu “sandiwara politik”.


Bagi Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar, sandiwara tersebut boleh dicium kerana Pas masih mengekalkan kedudukan dalam Perikatan Nasional (PN) yang menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan dan prinsip perjuangan parti itu.


"Keputusan kepimpinan Pas pusat untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu namun pada masa sama enggan melepaskan jawatan peneraju dalam Perikatan Nasional (PN) adalah satu penghinaan terbuka kepada intelek dan kematangan rakyat Malaysia," sinisnya dalam satu kenyataan.


Mahfuz mengibaratkan situasi tersebut seperti pasangan yang telah berpisah tetapi masih tinggal sebumbung demi kepentingan tertentu.


"Situasi janggal ini tidak ubah seperti pasangan suami isteri yang "sudah melafazkan talak, telah dilafaskan di kedai kopi tetapi masih mahu tinggal serumah dan berebut 'kain selimut'," ujarnya.


Menurut beliau, rakyat kini muak dengan permainan politik yang bersifat oportunis dan tidak berintegriti.


Beliau turut menegaskan, sekiranya Pas benar-benar berpegang kepada prinsip parti itu sepatutnya keluar sepenuhnya daripada PN.


"Rakyat fikir soal masa depan negara. Mereka masih sibuk drama politik siapa nak tidur bilik mana," sindir Mahfuz.


Beliau juga menyifatkan tindakan Pas kekal dalam PN sambil memutuskan hubungan dengan Bersatu sebagai strategi tidak matang dan tidak profesional.


"Jika benar Pas merasakan Bersatu tidak lagi relevan demi 'penyatuan ummah', mereka perlu keluar secara terhormat. Keengganan meletak jawatan pengerusi dan mengosongkan struktur PN membuktikan bahawa "prinsip perjuangan" sentiasa tunduk di bawah 'kepentingan survival poket politik'."


Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti politik agar menghentikan permainan politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.


Tegasnya, taktik Pas bertahan di dalam PN sementara memutuskan hubungan luar adalah strategi pengecut untuk memaksa Bersatu memulakan langkah menghalau mereka.


"Ini adalah politik kebudak budakan yang langsung tidak profesional.


"Cukuplah memperbodohkan rakyat. Jika sudah tidak sehaluan, berpisahlah secara bermaruah dan jangan heret masa depan negara ke dalam drama politik yang penuh kepura-puraan," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page