Sambutan pengundi positif - Ketua Wanita KEADILAN Jempol
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kehangatan kempen semakin dirasai apabila parti-parti politik giat mendekati pengundi menerusi pelbagai pendekatan bagi menjelaskan dasar serta menawarkan agenda pembangunan negeri.
Di sebalik persaingan yang semakin sengit, jentera Pakatan Harapan (PH) terus mengintensifkan gerak kerja di lapangan dengan mendekati pelbagai kelompok pengundi tanpa mengira kawasan, termasuk masyarakat Orang Asli dan penduduk di kawasan majoriti Melayu.
Ketua Wanita KEADILAN Cabang Jempol, Nur Syahida Ayob (gambar) berkata, setakat turun berkempen bersama jentera wanita, beliau menerima sambutan yang positif daripada masyarakat di setiap lokasi yang dikunjungi.
"Alhamdulillah, sama ada di kawasan Orang Asli mahupun kawasan Melayu, saya menerima sambutan yang positif di mana-mana kawasan," katanya kepada Suara Keadilan.
Mengulas usaha memperluaskan hebahan mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, Nur Syahida berkata beliau bersama pasukannya sentiasa bersedia memberikan penerangan kepada masyarakat agar lebih ramai mendapat maklumat mengenai bantuan yang disediakan.
Sabtu ini, kira-kira 889,490 pengundi biasa bakal menentukan mandat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.
Daripada jumlah itu, PH merekodkan jumlah calon tertinggi dengan 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24).
Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan 11 calon, diikuti empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian.



Comments