top of page

'Sambutan hangat komuniti India bukti PH jadi pilihan'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Dakwaan parti MIC bahawa pengundi India lebih cenderung menyokong Barisan Nasional (BN) perlu dilihat berdasarkan realiti di lapangan.


Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, sambutan hangat masyarakat India terhadap setiap program dianjurkan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sudah cukup menepis dakwaan parti komponen BN itu.


"Semua orang boleh membuat dakwaan tetapi apabila kita lihat sambutan daripada program yang mereka buat tidak menunjukkan begitu.


"Kalau kita nak tahu sama ada komuniti India sokong atau tidak, mereka suka atau tidak, kita boleh lihat daripada program yang kita buat," kata Menteri Sumber Manusia itu dipetik laporan media.


Ramanan juga berkata, satu sesi pertemuan komuniti India bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bakal berlangsung di Seremban petang ini dan merupakan satu peluang untuk melihat sendiri penerimaan serta sokongan masyarakat itu terhadap kepimpinan kerajaan.


Dalam perkembangan lain, Ramanan menolak unjuran bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tewas dalam PRN Negeri Sembilan


Beliau menegaskan bahawa ramalan keputusan pilihanraya oleh penganalisis politik atau pihak tertentu tidak semestinya menggambarkan keputusan sebenar pada hari pengundian.


"Hanya kerana sekali ramalan anda tepat, itu tidak bermakna anda ialah Nostradamus. Kita memang tahu Johor adalah medan yang sukar. Tetapi ia tidak sama di Negeri Sembilan," katanya.


Kian Ming sebelum ini meramalkan Barisan Nasional mendominasi PRN Johor sekaligus membentuk Kerajaan Negeri.


Pada PRN Negeri Sembilan, bekas Ahli Parlimen Bangi itu mengunjurkan PH memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, manakala KEADILAN dijangka memperoleh hanya satu kerusi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page