Sambutan Aidifitri Malaysia Madani simbol kesatuan rakyat
- Redzuan Shamsudin
- Apr 23, 2023
- 1 min read

Hari Raya Aidilfitri tahun ini jelas mempunyai kelainan berbanding tahun tahun sebelumnya dengan pengenalan konsep Malaysia Madani dan telah pun direalisasikan sebahagiannya dalam bentuk bantuan kepada rakyat pada musim perayaan.
Bagi Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, rakyat seharusnya memaknai inisiatif yang disediakan kerajaan dengan bersedia melakukan perubahan paradigma lebih besar selepas ini.
"Bermula dengan tol Rahmah Malaysia Madani percuma selama empat hari sejak semalam di kesemua 33 syarikat konsesi lebuhraya, rakyat Malaysia bersama-sama pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan meraikan Aidilfitri lebih ceria apabila kos perjalanan dapat dikurangkan.
"Kemudian diikuti dengan program Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri Malaysia Madani," katanya dalam satu kenyataan.
Kesudian Perdana Menteri untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di beberapa negeri pula, kata Andre Lai tidak boleh dituduh untuk menaikkan imej Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri pada Julai ini tetapi lebih kepada usaha PM untuk menyantuni negeri biar pun sebahagiannya ditadbir pembangkang.
"Tidak cukup untuk saya perjelaskan satu-persatu inisiatif yang telah diumumkan namun saya berharap seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri Malaysia Madani tahun ini sebagai bukti kesatuan rakyat majmuk yang hidup dalam suasana penuh harmoni dan rahmah sepanjang masa," katanya lagi.
Andre yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang meraikannya dan semoga semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan selamat kembali ke ibu kota bagi meneruskan agenda Malaysia Madani.
Comments