Oleh: Abdullah Zaid
Sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan KEADILAN pada 11 Mei ini dihiasi dengan anjuran karnival terbuka dan dilaksanakan secara cermat dan berpatutan.
Pengerusi Sambutan 25 Tahun KEADILAN, Wong Chen berkata, sesi pertama pada waktu 9 pagi sehingga ke 5 petang bertemakan 'Teruskan Perjuangan Reformasi' dan akan dibuka kepada orang ramai.
Manakala katanya, sesi kedua antara jam 6.30 petang hingga 10 malam pula membabitkan 3,500 undangan, antaranya pemimpin KEADILAN, pemimpin parti komponen Kerajaan Madani dan delagasi duta-duta daripada luar negara.
"Dalam pada itu, kita ada empat sesi bual bicara di mana Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman) akan menemu bual dua pimpinan termasuk Nurul Izzah dan Dr Wan Azizah.
"Tetapi fokus itu bukan hanya pada parti, ia terbuka kepada semua Ahli Parlimen dan Adun KEADILAN untuk mendengar keluhan rakyat. Kita membuat tema untuk kembali kepada rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Selain itu, ketika ditanya mengenai cadangan Sentul Depot dipilih sebagai lokasi anjuran ulang tahun Jubli Perak, Wong Chen berkata, lokasi tersebut dipersetujui kerana kosnya tidak tinggi dan sesuai dengan imej KEADILAN yang tidak membazir dalam melaksanakan sebarang acara sambutan.
"Kalau boleh kita nak buat di padang (Dataran Merdeka), tidak boleh kerana ia abuse of power jadi tempat persendirian yang paling dekat adalah Sentul dan harganya berpatutan.
"Pendekatan sederhana ini penting untuk menterjemahkan perjuangan parti ini," katanya lagi.
Tambah beliau, orang ramai yang berminat hadir boleh menggunakan akses pengangkutan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Sentul Depot untuk memudahkan perjalanan ke lokasi berkenaan.
Comments