top of page

Sambungan internet mobile: Malaysia tercorot, bilakah kejatuhan akan berakhir?



Laporan menyatakan sambungan internet mudah alih di Malaysia berada di tahap paling bawah di peringkat global dan serantau menjadi mimpi ngeri kepada kerajaan yang pernah mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada hujung 1990an lalu.


Supremo DAP Lim Kit Siang berkata, apabila Malaysia berada di kedudukan lebih rendah berbanding negara jiran ASEAN, Vietnam, Thailand, malah Laos yang lebih miskin, dalam kajian syarikat data bebas global Tutela baru-baru ini, maka harapan untuk menarik pelaburan asing tidak lagi terletak di negara ini.


Katanya, laporan Tutela bertajuk “Pengalaman Mudah Alih Global: Perbandingan Peringkat Negara”, cukup teruk melongsorkan Malaysia pada kedudukan ke-81, tiga tangga di bawah Indonesia (78).


"Dua puluh enam tahun lalu pada 1995, Malaysia mengisytiharkan MSC sebagai “hadiah kepada dunia”, dan teras inisiatif strategik negara untuk melonjakkan negara ke era IT menjadi salah satu kuasa IT dunia.


"Sejak itu MSC dan Malaysia malangnya telah lenyap daripada radar sebagai hotspot IT antarabangsa, dengan kejatuhan Malaysia yang tidak terkawal dalam daya saing IT antarabangsa sepanjang tempoh dua setengah dekad lalu.


"Ini disahkan oleh Skor Kualiti Jalur Lebar Global Oxford/Cisco 2009 mengenai kualiti jalur lebar global yang meletakkan Malaysia di tempat ke-53 daripada 66 negara dari segi kualiti dan jangkauan rangkaiannya.


"Boleh difahami jika kita ketinggalan di belakang negara seperti Korea, Jepun, Sweden, Denmark, Amerika Syarikat tetapi kita juga nampaknya ketinggalan di belakang negara-negara seperti Turki, Chile, China, Qatar, Brazil, Argentina, Arab Saudi, Cyprus, Costa Rica, Bahrain, Thailand dan UAE," kata Kit Siang dalam satu kenyataan.


Beliau turut menyertakan laporan kualiti rangkaian antara Mei-Julai tahun ini oleh syarikat analitik mudah alih OpenSignal dan firma kewangan JP Morgan iaitu Digi mempunyai kelajuan muat turun tertinggi di Malaysia pada 15.0 Mbps, diikuti oleh Maxis (13.4), U Mobile (11.5), Unifi (11.0), dan Celcom (8.2).


Katanya, di Asia Timur, Korea Selatan menikmati purata kelajuan muat turun 61.3 Mbps, diikuti Jepun pada 40.4 Mbps, dan Taiwan pada 27.4 Mbps.


Manakala kes jangkitan Covid 19 yang tidak berkurangan, kata Kit Siang, merupakan berita kedua kurang menyenangkan.


Katanya, Indonesia semalam mencatatkan 451 kes harian baharu Covid-19 dan 13 kes kematian, berbanding 5,755 kes harian dan 37 kes kematian Covid-19 bagi Malaysia. Menandakan hari ke-112 berturut-turut sejak 18 Ogos lalu memperlihatkan Indonesia mencatatkan kes lebih rendah dan hari ke-51 berturut-turut sejak 5 Oktober kurang kematian harian Covid berbanding Malaysia.


Hal itu, menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, menjadikan kes terkumpul Covid di Malaysia mencecah 2,602,855 kes dan 30,147 kematian.


Justeru, kata Kit Siang, Pakatan Harapan telah mencuba menyeru pengundi Melaka untuk menggunakan pilihan raya negeri baru baru ini untuk melancarkan “Kempen Selamatkan Malaysia Seratus Tahun” bagi menghentikan kemunduran setengah abad yang lalu, dan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sebelum 2057.


Malangnya, kata beliau, masih ramai yang berasa kecewa, putus asa malah berang kerana kerajaan PH selama 22 bulan tidak memperkenalkan banyak reformasi dan perubahan institusi di Malaysia, tanpa menghiraukan hakikat bahawa kerajaan PH mempunyai mandat lima tahun, apatah lagi setelah dikhianati dalam Langkah Sheraton.


"Namun satu fakta tidak dapat dinafikan, Malaysia tidak memenuhi janjinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia kerana diatasi oleh satu demi satu oleh negara lain dalam tempoh setengah abad yang lalu


"Jika Malaysia tidak bangkit dan berusaha untuk mencapai pencapaian yang lebih besar, dalam satu atau dua dekad, anak muda Malaysia akan pergi ke Indonesia untuk mencari pekerjaan dan bukannya sebaliknya.


"Malaysia tidak boleh menjadi negara hebat bertaraf dunia dalam masa satu atau dua tahun, malah dalam satu atau dua dekad. Ia akan menjadi satu cabaran besar bagi negara ini untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dalam masa 36 tahun pada tahun 2057," katanya.


Sebagai orang lama dalam politik, Kit Siang tertanya tanya adakah sudah terlambat untuk menyelamatkan Malaysia menjelang 2057 untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page