Sambung ECRL ke Rantau Panjang antara topik perbincangan PM-Presiden Xi
- Suara Keadilan
- Sep 3
- 2 min read

Cadangan projek sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan yang bersempadan dengan Thailand menjadi antara topik perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang di Beijing semalam.
Perdana Menteri Anwar berkata perbincangan tersebut masih di peringkat awal dengan membayangkan projek itu berkemungkinan memakan kos lebih rendah.
"Pasukan yang terlibat perlu meneliti butirannya, kos dan kaedah pembayaran. Berdasarkan ini merupakan kesinambungan, kosnya mungkin lebih rendah," kata beliau yang dipetik dari laporan media Malaysia ketika mengakhiri lawatan selama empat hari ke China sejak Ahad lalu.
Projek ECRL yang dilancarkan sejak 2017 memiliki laluan sepanjang kira-kira 665 kilometer bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Gombak, Selangor.
Fasa utama jajaran telah siap dan menunjukkan kemajuan signifikan dengan projek dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada Disember 2026 atau Januari 2027.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek tersebut diharap dapat direalisasikan selaras dengan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan antara Kota Bharu dan Rantau Panjang.
"Cadangan adalah ke arah itu (trek sambungan) antara 20 dan 25 kilometer ke Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand
"Kami berharap dengan adanya stesen ini, ekosistem pembangunan dan perniagaan dapat ditingkatkan," ujarnya.
Pada Ogos lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa perbincangan lanjut perlu dilakukan dengan kerajaan China dan kontraktor utama China Communications Construction Co Ltd (CCCC) berikutan projek tersebut kini dalam pembinaan dan jajaran ke Rantau Panjang merupakan sebahagian daripada pakej projek.
Dalam sidang media itu, Anwar turut mengesahkan Li akan mewakili China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan depan.
Dalam lawatan ke Beijing, Anwar mengadakan siri pertemuan perniagaan peringkat tinggi dengan syarikat terkemuka China bermula dengan lawatan ke Tianjin pada 31 Ogos lalu.
Perbincangan melibatkan kontrakor utama ECRL, China Semiconductor Industrial Association (CSIA) yang menjana potensi eksport sebanyak RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.
Pertemuan turut melibatkan Rianlon Corporation, konglomerat terkemuka China dalam bahan tambahan anti-penuaan untuk polimer dan kosmetik dengan komitmen pelaburan sebanyak RM820 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.
Pada sesi dialog perniagaan dengan 120 peneraju China dari pelbagai sektor, Anwar telah mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau untuk perniagaan China.
Comments