Saman Yusoff Rawther: Gesa PM bercuti gangguan sistem pentadiran - Junn
- Suara Keadilan
- Jun 8
- 2 min read

Gesaan pembangkang, terutama Pas supaya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti sepanjang tempoh perbicaraan saman sivil bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther dibantah Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat dari Sabah.
Menurut Junaidah Makku @ Junn cadangan seperti itu bukan sahaja tidak berlandaskan prinsip undang-undang malah gangguan kepada sistem pentadbiran negara serta percubaan terdesak untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri yang sedang menjalankan fungsi dan tugasnya dengan penuh dedikasi.
"Untuk makluman umum, kes ini adalah saman sivil antara individu, dan bukannya pendakwaan jenayah. Tiada keperluan dari segi undang-undang untuk Perdana Menteri bercuti atau digantung tugas.
"Malah, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa, menjadikan beliau antara Perdana Menteri paling komited dan berwibawa dalam sejarah Malaysia moden," katanya dalam kenyataan.
Bagi Junn, rekod PM Anwar amat cemerlang apabila berjaya mengembalikan keyakinan pelabur asing dan Malaysia kembali mendapat perhatian pelabur global termasuk dari Eropah, Timur Tengah, dan Asia Timur.
Ujarnya, lawatan diplomatik rasmi PM ke negara-negara utama telah membuahkan hasil dalam bentuk pelaburan langsung asing (FDI) yang tidak sewajarnya PM dicutikan sehingga kes saman itu selesai.
"Hubungan diplomatik bertambah kukuh. Malaysia kini lebih dihormati di mata dunia kerana dasar luar yang seimbang dan prinsip yang konsisten. Perdana Menteri berjaya memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Begitu juga, menurut Ketua Wanita KEADILAN Sipitang itu, usaha kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi, menurunkan kadar inflasi, serta meningkatkan daya saing ekonomi negara juga merupakan bukti nyata kepimpinan beliau bekerja untuk rakyat, bukan hanya beretorik politik.
"Wanita KEADILAN Sabah melihat kenyataan pemimpin Pas itu sebagai usaha mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan mereka membangunkan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka, serta ketiadaan pelan pembangunan jangka panjang yang jelas untuk rakyat.
"Kami menggesa semua pihak termasuk pembangkang agar berhenti menggunakan sistem kehakiman sebagai alat untuk serangan politik murahan.
"Proses undang-undang wajar berjalan dengan bebas tanpa tekanan politik dan Perdana Menteri perlu terus menjalankan tugas beliau demi negara tanpa gangguan remeh seperti ini," katanya.
Tegas Junn, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan PM kepada seluruh rakyat Malaysia dan dengan mandat yang jelas. Oleh itu beliau seharusnya diberi ruang memimpin negara ke arah kestabilan dan kemajuan.
Comments