Saman PM: Waythamoorthy perlekeh Perlembagaan - Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan

- Aug 14
- 1 min read

Saman pemula Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), P Waythamoorthy terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikannya sebagai PM dan anggota Parlimen dikecam Wanita KEADILAN Pusat.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Datuk Ginie Lim (gambar) menyifatkan saman itu sebagai cubaan politik murahan berasaskan pemutarbelitan fakta.
Menurut beliau, hakikatnya Anwar telah hampir tiga tahun memimpin negara sebagai Perdana Menteri yang sah dan bebas daripada sebarang halangan Perlembagaan sejak 2018 lalu.
"Pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 bukan sahaja membatalkan sabitan, malah memulihkan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ginie Lim, dakwaan kononnya Anwar “secara palsu merepresentasikan diri” adalah fitnah kerana Anwar bertanding secara sah, memenangi pilihanraya dan perlantikannya sebagai Perdana Menteri diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Serangan Waythamoorthy ini bukan soal undang-undang, tetapi dendam politik. Ia memperlekeh pilihan rakyat, mempermainkan fakta, dan menyalahtafsir Perlembagaan Persekutuan sehingga memalukan diri sendiri," tegasnya.
Pada 12 Ogos lalu, Waytha memfailkan saman pemula terhadap Anwar mendakwa statusnya sebagai anggota Parlimen dan Perdana Menteri melanggar Perlembagaan.
Waytha dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.









Comments