top of page

Saman pemula Waytha: "Macam dia seorang faham undang undang" - Khalid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 16
  • 2 min read

ree

Saman pemula difailkan Presiden Malaysian Advancement Party (MAP), P Waytha Moorthy bagi mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri terus mendapat kecaman pemimpin Pakatan Harapan.


Terbaharu Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad (gambar) berkata, Waytha tidak perlu mengingatkan pemerintah negara ini mengenai Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan dalam isu pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke 10 (PMX) kerana hal itu dibuat melalui proses yang wajar.


"Macam dia seorang saja yang faham undang undang. Semua yang lain tak faham, termasuk Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan PMX angkat sumpah perdana menteri.


"Saya rasa ini merupakan satu tanda terdesak. Ini (usaha saman) merupakan isu nak dapatkan publisiti. Kemungkinan nak menang (saman) tipis tapi dia tunjukkan bahawa ada tindakan tolak PM," katanya dalam program bual bucara terbaharu terbitan Jom Channel malam tadi.


Mengulas pertanyaan moderator apakah Waytha bertindak memfailkan saman itu dipengaruhi oleh gabungan politik PN yang didakwa baharu disertai beliau, Khalid berkata, hal itu mungkin mempengaruhinya.


"Mungkin, (ini satu) tindakan politik yang dilakukan. Semua bertujuan memburuk burukkan kerajaan sedia ada, khususnya PMX dan supaya rakyat tak sedar kebaikan yang dicapai dan telah dilaksanakan.


"Kejayaan (PMX) telah diiktiraf dunia. Termasuk damaikan Thailand - Kemboja, soal ekonomi pulih dan beberapa aspek reformasi yang telah berjaya dilaksanakan," katanya.


Tambah beliau, dengan cubaan saman tersebut maka perkara baik yang dilakukan akan dialih kepada soal kelayakan Anwar sebagai PM,dan hal remeh temeh lainnya.


"Sedangkan kita nampak banyak program dilakukan PMX termasuk dengan ulama, tok guru pondok dan lain lain. Perancangan ajar TVET di sekolah pondok, agama.


"Ini kita (lihat akan) tambah nilai golongan kelulusan agama. Tak perlu hanya jadi penceramah di surau, boleh mahir dalam bidang profesional," katanya lagi.


Waytha Moorthy baru baru ini memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.


Menurut beliau, Anwar telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.


Manakala, dakwanya, pada masa pemilihan sebagai PM tempoh kehilangan kelayakan selama lima tahun itu, dibaca bersama Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan masih berkuat kuasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page