top of page

SALAM: Malaysia bakal miliki rangkaian kabel dasar laut baharu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 42 minutes ago
  • 2 min read

Malaysia bakal memiliki rangkaian kabel dasar laut domestik baharu yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM), sekali gus memperkukuh tulang belakang komunikasi digital negara.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, projek strategik nasional di bawah rangka kerja Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP) itu akan meningkatkan kapasiti serta daya tahan rangkaian komunikasi negara, di samping memastikan kesinambungan perkhidmatan digital lebih selamat, stabil dan boleh dipercayai.


"Inisiatif SALAM akan mewujudkan sistem kabel dasar laut baharu menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi membentuk rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh serta mempunyai kepelbagaian laluan geografi.


"Dengan memperluaskan kapasiti rangkaian dan memperkukuh kepelbagaian laluan, projek ini akan meningkatkan kesinambungan perkhidmatan serta menyokong infrastruktur komunikasi yang lebih berdaya tahan di seluruh negara," kata kenyataan itu hari ini.


Menurut MCMC, sistem kabel dasar laut merupakan tulang belakang kepada komunikasi digital moden kerana membawa sebahagian besar trafik data domestik dan antarabangsa.


Katanya, peningkatan permintaan terhadap sambungan digital berkelajuan tinggi menjadikan pengukuhan infrastruktur berkenaan penting bagi memastikan komunikasi yang selamat, stabil dan tidak terganggu untuk sektor kerajaan, perniagaan serta orang ramai.


Di bawah projek itu, sistem SALAM akan merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel (Cable Landing Stations, CLS) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran panjang keseluruhan kira-kira 5,582 kilometer.


"Sistem ini akan memperkenalkan laluan sambungan yang pelbagai dari segi geografi bagi meningkatkan redundansi rangkaian, mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan dan memperkukuh daya tahan komunikasi Malaysia secara keseluruhan," menurut MCMC.


Selain meningkatkan hubungan antara wilayah, MCMC berkata, SALAM akan menjadi tulang belakang sambungan domestik yang kukuh dan berskala bagi menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar serta rangkaian 5G.


Menurutnya, projek itu juga akan membolehkan pertumbuhan infrastruktur pengkomputeran awan, pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan industri digital baharu, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara, agenda keterangkuman digital serta daya tahan negara dalam jangka panjang.


"SALAM akan menyediakan tulang belakang sambungan domestik yang kukuh dan berskala untuk menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G, di samping membolehkan pertumbuhan infrastruktur awan, pusat data, teknologi AI serta industri digital baharu," menurut kenyataan itu.


Sehubungan itu, MCMC mempelawa semua pemegang lesen yang layak menyertai pelaksanaan projek berkenaan dengan mengemukakan Registration of Interest (ROI) berserta Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk penilaian, selaras dengan Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Peruntukan Perkhidmatan Sejagat) 2002.


"MCMC mempelawa semua pemegang lesen yang layak untuk mengambil bahagian dengan mengemukakan Registration of Interest bersama Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat untuk penilaian," menurut kenyataan itu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page