top of page

Salahkan kerajaan: Hj Hadi perlu jujur berhujah, henti bina naratif fitnah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 18
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menghentikan sikapnya yang gemar melemparkan tuduhan umum tanpa asas terhadap pihak tertentu dengan membina naratif politik bersifat fitnah dan tidak bertanggungjawab.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar) menyifatkan kenyataan Abdul Hadi menyalahkan pelbagai masalah negara termasuk inflasi, keruntuhan moral dan kerosakan alam sekitar kepada pemimpin yang didakwa “perosak” sebagai satu bentuk hujahan tidak beretika serta menyempitkan agama demi kepentingan politik.


"Melempar kenyataan seperti ‘pemimpin tidak layak dari segi ilmu dan akhlak, pembohong, didapati bersalah di mahkamah, dan memohon pengampunan adalah pengakuan bersalah’ tanpa menyebut nama adalah politik berlapik yang mengundang persepsi buruk dan boleh dianggap fitnah terselindung," katanya dalam hantaran di Facebook.


Beliau turut menolak pendekatan menyempitkan agama yang digunakan Ahli Parlimen Marang itu untuk mewajarkan tuduhan ke atas pihak yang berbeza pandangan politik.


"Adalah tidak adil untuk menuduh pemimpin yang dilabel sebagai ‘liberal’, ‘sekular’ atau ‘pluralis’ sebagai punca kerosakan negara. Realiti pemerintahan moden adalah jauh lebih kompleks daripada naratif hitam-putih yang cuba dibentuk," katanya.


Fakhrulrazi menegaskan bahawa keruntuhan moral dan kemerosotan ekonomi berlaku di pelbagai negara termasuk yang dipimpin oleh parti-parti Islam, sekali gus membuktikan bahawa ia bukan semata-mata berpunca daripada ideologi politik tertentu.


Dalam hal ini beliau mengingatkan Pas agar melakukan muhasabah dengan menilai kembali prestasi mereka ketika berada dalam kerajaan, termasuk isu rasuah, kronisme dan kegagalan memperkenalkan pelan ekonomi Islam yang menyeluruh.


"Mengapa ketika memegang kuasa, Pas tidak memperkenalkan pelan ekonomi Islam yang komprehensif? Mengapa hanya selepas tidak lagi memegang kuasa, barulah semua kesalahan diletakkan di bahu pihak lain?" soal beliau.


Fakhrulrazi menekankan bahawa politik Islam yang sejati harus bersifat menyatu, membina dan membawa penyelesaian kepada rakyat bukan sekadar menghukum, melabel atau menuduh tanpa fakta.


"Politik Islam bukan sekadar berpentas memberi label, tetapi hadir dengan pelan kebajikan, agenda ekonomi yang adil, dan pendidikan yang inklusif. Jika kita tidak berlaku adil, maka kita lebih dekat kepada kezaliman," ujarnya sambil merujuk kepada Surah Al-Ma’idah ayat 8.


Beliau menyeru agar Abdul Hadi kembali kepada prinsip ilmu, akhlak dan adab dalam berpolitik.


"Berhujahlah dengan data, prinsip dan objektif kebenaran, bukan dengan menyempitkan agama untuk membenarkan pendirian politik sendiri. Rakyat Malaysia berhak kepada politik matang dan jujur, bukan retorik lama yang memecah dan menuduh tanpa solusi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page