Jawatan jawatan utama Wanita KEADILAN menyaksikan saingan sengit dalam Pemilihan KEADILAN 2022 kali ini.
Dengan kehadiran beberapa pimpinan dan aktivis Wanita KEADILAN di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya pagi tadi, bagi proses penamaan calon mengesahkan saingan tertumpu kepada bakat bakat baharu dalam parti.
Calon Ketua Wanita KEADILAN, Senator Fadhlina Sidek berkata beliau bangga melihat pimpinan pelapis dan aktivis akan bersaing dalam mengisi jawatan utama Wanita KEADILAN kali ini.
"Saya seperti telah dimaklum sebelum ini, telah menawarkan diri sebagai calon ketua wanita pusat dan sangat berbangga melihat ramai yang datang dan menawarkan diri berkhidmat bagi meneruskan kebaktian pada parti.
"Dua timbalan dan yang lain tawar diri sebagai naib ketua. Ini perkembangan yang baik dan positif, melihat kepada bakal calon yang bakal bersaing dalam pemilihan," katanya.
Sementara itu, tanpa disangka ADUN Bukit Melawati yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli turut menawarkan diri untuk mengisi tempat Timbalan Ketua Wanita KEADILAN.
Menurut beliau, dirinya, Datin Sabrina Ahmad dan Siti Aishah Shaik Ismail merupakan produk Srikandi KEADILAN yang bersaing pada pemilihan ini.
"Saya, Siti Aishah naib ketua wanita, Datin Sabrina naib ketua wanita pusat, kami kali ini menawarkan diri. Kami adalah hasil dari didikan Srikandi 10 tahun lalu.
"Kami sebagai pelapis baru, kami menawarkan kepimpinan baru dalam KEADILAN," katanya.
Turut kelihatan mengisi borang pencalonan adalah Naib Ketua Wanita KEADILAN, Datin Faizah Arifin yang kali ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN.
Comments